KUALA LUMPUR: Belanjawan 2021 dirangka berdasarkan unjuran yang memaparkan realiti ekonomi serta rakyat sebenar, kata Pengarah Belanjawan Negara Johan Mahmood Merican.
"Setiap tahun kami di Kementerian Kewangan menyediakan belanjawan berdasarkan kaedah dan pendekatan yang sama dan ia tidak berbeza dengan tahun sebelum ini.
"Berdasarkan maklumat yang disediakan, itulah unjuran yang memaparkan keadaan yang sebenarnya (dalam ekonomi)," katanya ketika diminta mengulas perbahasan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan Belanjawan 2021.
Anwar sewaktu membahaskan Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat pada Isnin berkata terlampau banyak persoalan yang berbangkit daripada Belanjawan 2021, sedangkan ia sepatutnya memberi fokus kepada usaha menangani COVID-19.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, antara perkara yang menimbulkan kegusaran ialah, unjuran pendapatan yang mengelirukan, pemindahan wang untuk dijadikan pendapatan kerajaan, dan tumpuan yang tidak sepatutnya kepada perbelanjaan pembangunan (CapEx).
Tambahnya ia seakan-akan tersasar daripada apa yang sering diperkatakan Kerajaan sebelum ini, iaitu fokus Belanjawan adalah untuk mengawal pandemik itu.
Selain Anwar, Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut berkata Belanjawan 2021 perlu diubah suai menjadi lebih realistik untuk mendapat sokongannya di Parlimen.
Ahli Parlimen Langkawi itu mengakui takut kerana belanjawan kali ini adalah yang terbesar dalam sejarah, tetapi kerajaan tidak mampu membiayainya ekoran keadaan ekonomi sekarang.
-detikdailyonline
0 ulasan:
Catat Ulasan