Khamis, 12 November 2020

Nasruddin “mohon” acara ABPBH esok dibatalkan

 


Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasruddin Hassan memberitahu pihaknya sedang mengusahakan agar Anugerah Bintang Paling Popular BH (ABPBH) Ke-33 esok dibatalkan.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu berkata, program hiburan itu sangat tidak wajar ketika umat Islam sedang resah dilanda pandemik Covid-19.

“Sayugianya kita banyakkan aktiviti yang boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT.

“Beristighfar dan melakukan amal kebajikan, mudah-mudahan Allah SWT menyelamatkan kita, negara dan seluruh penghuninya dari wabak yang bahaya ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya malam tadi.

Bekas Ahli Parlimen Temerloh tersebut berkata, pihak YADIM telah menerima banyak aduan daripada umat Islam mengenai ketidakwajaran anugerah yang bakal menobatkan Bintang Paling Popular itu.

“Justeru, kami mohon ia dibatalkan dan diganti dengan program yang lebih bermanafaat dan tidak mengundang kemurkaan Allah swt.

“Bagi pihak YADIM beberapa usaha dalaman telah dilakukan supaya program ini dibatalkan. Mohon doakan dari semua,” katanya diakhiri dengan tanda pagar #batalkanABP.

“Permohonan” Nasruddin agar acara itu dibatalkan menerima pelbagai reaksi termasuk sindiran daripada warganet.

Pihak menyokong pembatalan ABPBH menganggap langkah itu wajar dan adil memandangkan program ceramah agama dan Piala Malaysia juga dibatalkan kerana ancaman Covid-19.

Namun, lebih banyak kecaman diterima antaranya menganggap “permohonan” pemimpin Pas itu berlaku hanya selepas menerima desakan.

Tidak kurang juga yang mengingatkan Nasruddin agar tidak sekadar bertempik di media sosial sahaja sebaliknya memanfaatkan kuasa sebagai kerajaan.

ABPBH ke-33 esok akan dianjurkan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan serta mematuhi arahan dan nasihat yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Buat pertama kalinya, acara yang menyaksikan Xiaomi, iaitu sebuah syarikat elektronik multinasional China sebagai penaja utama akan disiarkan secara langsung melalui aplikasi video TikTok.

 -mindarakyat

0 ulasan:

Catat Ulasan