Isnin, 5 Oktober 2020

35,000 jawatan kosong di sektor awam, kata pengerusi SPA

 

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Zainal Rahim Seman bercakap kepada pemberita selepas melancarkan sistem permohonan pekerjaan SPA9.

PUTRAJAYA: Kira-kira 35,000 kekosongan jawatan dalam sektor kerajaan, kata Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Zainal Rahim Seman hari ini.

Katanya, dari jumlah itu, 15,000 jawatan tetap, manakala antara 15,000 hingga 20,000 jawatan kontrak.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan sistem pendaftaran pekerjaan SPA baru, Zainal berkata jumlah itu berdasarkan kuota lantikan tahunan.

“Jumlah jawatan kontrak mungkin berubah kerana ia bergantung pada kekosongan yang ditawarkan oleh jabatan dan kementerian kerajaan berdasarkan berapa banyak pemohon yang mereka perlukan untuk tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan data yang dikumpulkan oleh jabatan itu, terdapat sekurang-kurangnya 1.25 juta pemohon setiap tahun.

Zainal berkata dengan sistem permohonan pekerjaan baharu itu, diberi nama SPA9, ia akan lebih mudah dan cepat bagi pemohon untuk ditawarkan pekerjaan.

Katanya, SPA9 mempunyai sistem padanan pekerjaan yang akan menawarkan jawatan yang paling sesuai dengan pemohon berdasarkan keperluan dan latar belakang pendidikan.

Sehubungan itu, ia akan memastikan pemohon mempunyai peluang yang lebih baik untuk mendapatkan pekerjaan.

“Pemohon tidak perlu lagi bimbang jika berlaku kesilapan semasa mengisi permohonan,” katanya.

Sistem ini, yang dikatakan lebih efisien berbanding sistem SPA8i sebelum ini, juga boleh mengenal pasti pemohon yang merupakan pemegang kad OKU, dan mereka yang berada dalam kumpulan B40.-FMT

0 ulasan:

Catat Ulasan