Sabtu, 24 Oktober 2020

“Saya berubah selepas 6 bulan bersekolah tingkatan 1 di MRSM Kuantan”-Profesor Dr Zainur Rashid Zainuddin

 

Profesor Dr Zainur di MRSM Kuantan

Oleh: Akmal Azlan

Kuala Lumpur, 22 Oktober 2020 – Kehidupan seseorang boleh berubah menjadi baik sekiranya kita mempunyai kesedaran dan keinginan untuk meraih kebahagiaan yang sebenarnya.

Begitu lah ungkapan kata-kata seorang bekas pelajar MRSM Kuantan yang kini bergelar Profesor Dr Zainur Rashid Zainuddin. Beliau meluahkan perasaan menerusi laman akaun page facebook dengan menceritakan kisah didikan ibu bapa terhadap dirinya yang dikatakan nakal semasa kecik namun kehidupan beliau mula berubah apabila mula memasuki MRSM Kuantan pada Ketika itu.  

Antara paparan perkongsian di laman akaun page facebooknya adalah:

“Saya dibesarkan dengan didikan yang baik oleh arwah emak dan abah. Saya dididik untuk solat berjamaah di masjid setiap hari terutamanya subuh, maghrib dan isya’ setiap hari sejak darjah 2 lagi. Saya belajar al Quran pun daripada arwah emak, manakala hafazan surah utama daripada arwah abah.”

“Saya aktif dengan aktiviti ko-kurikum dan sukan serta jadi ‘jaguh kampung’. Pernah jadi naib johan larian 400 meter daerah Segamat.”

“Bab nakal, saya memang no. 1 dalam keluarga dan diketahui oleh jiran dan guru-guru di sekolah di Felda Tenang.”

“Arwah emak adalah orang yang sangat penyabar dan banyak kali jugalah menangis mengendalikan kenakalan saya dulu, terutamanya apabila mengamuk (Allah sahaja yang tahu).”

“Saya berubah selepas 6 bulan bersekolah tingkatan 1 di MRSM Kuantan pada tahun 1979. Saya insaf dan menangisi ‘jahatnya’ saya kepada arwah emak.”

“Suatu pagi semasa percutian sekolah (form 1), saya membasuh baju-baju di kampung untuk meringankan beban emak. Emak menjenguk masuk bilik air melihat apa yang berlaku, saya sendiri sebak apabila melihat emak menangis melihat perubahan pada diri diri.”

“Saya terus berubah…Saya pernah menjadi salah seorang daripada 3 pelajar terbaik negeri Pahang dan juga diamanahkan sebagai Presiden Badan Wakil Pelajar, MRSM Kuantan.”

Prof. Dr Zainur turut berpesan kepada ibu bapa di luar sana agar sentiasa mendoakan kebaikan buat anak-anak untuk menjadi orang yang berjaya.

“Jangan berputus asa wahai para ibu. Usap rambut anak-anakmu, cium mereka dengan kasih saying. Bisikan kasih sayang dan harapan sebelum mereka tidur dan ketika berpisah dengan mereka”

“Selepas solat, doakan kebaikan agar mereka mewarisi kebaikan mu…Doa khas buat mereka dalam sujud terakhir tahajud mu.”

“Maafkan daku emak dan abah. Semoga emak dan abah berbahagia di syurgaNya. Penghargaan buat para guru dan pendidik yang dihormati sekalian…”

Profesor Dr Zainur memasuki MRSM Kuantan pada tahun 1979 sehingga tamat pengajian pada tahun 1983.  Anak kelahiran Felda, Tenang Johor ini melanjutkan pengajian tinggi peringkat Ijazah Perubatan di Royal College of Surgeons Ireland (1986-1992)  dan meneruskan lagi Ijazah Kepakaran Obstetrik Ginekologi di Royal College Of Obstetrician dan Gynaecologist London tahun 2000.

Beliau kini merupakan seorang Professor of Obstetrics and Gynaecologist di International University dan merupakan Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban. Bukan itu itu sahaja, bahkan beliau juga bergiat akfit dalam aktiviti sosial seperti mengetuai misi kemanusiaan dan perubatan ke Afganistan, Palestin, Syria, Aceh, Lubnan serta ke pedalaman Sarawak dan Sabah. 

Prof. Dr Zainur telah dinobatkan oleh MARA sebagai IKON MRSM 2015 atas sumbangan dan kejayaannya yang telah menjadi kebanggaan buat negara dan bangsa. 

Perkongsian ini turut mendapat perhatian pengikut laman akaunnya yang memberikan respon baik serta mendapat inspirasi daripada kisah kehidupan Prof. Dr Zainur yang akhirnya menjadi orang ternama dan berjaya.

Prof. Dr Zainur menjadi Presiden Badan Wakil Pelajar MRSM (1982-1983)

Sumber : https://www.facebook.com/155707591143880/posts/3591340537580551/


Credit:ewarta.mara.gov.my

0 ulasan:

Catat Ulasan