PERKAPALAN aktiviti penting negara. Statistik menunjukkan lebih 90 peratus perdagangan antarabangsa Malaysia dieksport dan diimport melalui jalan laut.

Pada peringkat antarabangsa, dianggar sekitar 80 peratus perdagangan global diangkut menggunakan kapal.

Bagi mengawal selia sistem perkapalan pada peringkat antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menubuhkan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) yang dianggotai 171 negara.

IMO ditubuhkan pada 1958 untuk menyelaras dan mengawal selia aktiviti perkapalan dunia bagi memastikan ia selamat dan lestari.

Bidang tugas IMO meliputi semua aspek kawal selia aktiviti perkapalan, termasuk mewujudkan undang-undang perkapalan antarabangsa dan peraturan bagi memastikan keselamatan perkapalan - kapal dan nyawa di laut.

Peraturan juga dibuat untuk mereka bentuk dan membina kapal lebih selamat, menjamin kompetensi, kebajikan serta keselamatan pelaut dan anak kapal.

IMO menguatkuasakan peraturan dan undang-undang ke seluruh dunia dengan mewajibkan kapal didaftarkan dan dikawal selia negara mendaftarkannya.

Undang-undang antarabangsa juga membolehkan negara mengawal selia semua kapal, termasuk kapal asing yang memasuki pelabuhan di sesebuah negara. Di Malaysia, tugas ini terletak pada bahu Jabatan Laut Malaysia.

Suatu bidang semakin penting sedang ditangani IMO ialah isu kelestarian perkapalan. Undang-undang dan peraturan digubal berkaitan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar akibat aktiviti perkapalan diwujudkan IMO sejak 1973.

Antara undang-undang antarabangsa terpenting dalam aspek ini ialah Konvensyen Antarabangsa Bagi Menghindarkan Pencemaran Dari Kapal. Ia bertujuan mengawal pencemaran minyak, bahan organik meruap, air sisa, sisa pepejal serta pencemaran udara.

IMO juga meluluskan konvensyen mengenai pemindahan organisma laut melalui air ballast atau pemberat kapal serta konvensyen antarabangsa mengenai kitar semula kapal.

Kajian menunjukkan aktiviti perkapalan antarabangsa hanya menyumbang tidak sampai empat peratus gas rumah hijau (GHG) global. Namun, undang-undang dan peraturan berkaitan kawalan GHG dan peningkatan kecekapan tenaga kapal diwujudkan IMO sejak 1996.

Antara langkah kawalan drastik ialah mewajibkan pengiraan Indeks Reka Bentuk Kecekapan Tenaga (EEDI) bagi semua kapal baharu dibina mulai 2013. Kapal yang tidak memenuhi kriteria had maksimum EEDI tidak dibenarkan didaftar dan belayar di perairan antarabangsa.

Bagi menunjukkan komitmen dan signifikan IMO dalam mempromosi kelestarian perkapalan, pada 24 September lalu diumumkan sebagai Hari Maritim Sedunia dengan tema 'Kelestarian Perkapalan untuk Dunia Yang Lestari'.

Sebagai sebuah negara maritim, Malaysia mempunyai peranan besar di IMO. Hal ini terbukti apabila Malaysia terpilih untuk menganggotai Majlis IMO yang dilantik setiap dua tahun sekali, buat kali kelapan pada November 1999. Malaysia juga aktif menguatkuasakan peraturan dan undang-undang IMO.

Mengenai pencemaran udara oleh kapal, Malaysia menandatangani Konvensyen Antarabangsa Bagi Menghindarkan Pencemaran Dari Kapal.

Undang-undang ini membolehkan negara mengambil langkah perlu bagi mengawal pencemaran laut dan udara melalui aktiviti perkapalan oleh kapal yang berdaftar di Malaysia dan kapal asing yang memasuki perairan serta pelabuhan negara.

Sehubungan itu, kajian yang dijalankan institusi pendidikan tinggi boleh membantu pihak berkuasa maritim negara.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) contohnya, menerajui kajian khusus mengenai pencemaran udara oleh perkapalan. Kajian meliputi pencemaran udara dan pelepasan GHG.

Pada 2011, penyelidik UTM dengan kerjasama Jabatan Laut Malaysia membuat kajian mengenai jumlah pelepasan GHG oleh kapal Malaysia.

Anggaran pelepasan GHG oleh perkapalan Malaysia dibuat menggunakan pendekatan bottom-up. Data penggunaan bahan bakar dikumpulkan Jabatan Laut Malaysia.

Kajian ini menyimpulkan sejumlah 9.7 juta tan GHG dikeluarkan kapal Malaysia pada tahun berkenaan. Kapal tangki minyak penyumbang utama 40 peratus, diikuti kapal tangki gas cecair dan jenis kapal lain masing-masing sebanyak 38 peratus dan 22 peratus.

UTM juga bekerjasama dengan Lembaga Pelabuhan Johor bagi membangunkan sistem bagi menilai tahap pencemaran udara dan GHG di Pelabuhan Pasir Gudang serta Tanjung Pelepas.

Kajian ini mencadangkan langkah perlu diambil ke arah menaik taraf pelabuhan berkenaan ke tahap pelabuhan hijau.

UTM juga bekerjasama dengan Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB) bagi membuat penanda aras indeks pelabuhan hijau.

Kumpulan pengkaji UTM juga sedang membangunkan sistem pemantauan pelepasan GHG di pelabuhan dan perairan Malaysia menggunakan kaedah Sistem Pengenalan Automatik (AIS).

Menerusi sistem ini, kapal boleh dikesan melalui sistem penjejakan AIS dan jumlah anggaran GHG dilepaskan ke udara.

Mengenai organisma akuatik berbahaya, isunya ialah penyebaran organisma dari tempat lain ke negara kita melalui air laut yang dimuat ke dalam kapal sebagai ballast atau pemberat.

Malaysia juga menandatangani Konvensyen Pengurusan Air Ballast (BWM) - Pelaksanaan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Kawalan dan Pengurusan Air Ballast dan Sedimen Kapal 2004.

Pada pihak UTM, kajian mengenai masalah ini di Malaysia dilakukan dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Sistem rawatan ballast bagi kegunaan kapal juga dibangunkan untuk memastikan air pemberat dirawat sebelum dilepaskan di kawasan pelabuhan.

Jelasnya, kajian dijalankan boleh membantu perairan Malaysia lebih selamat dan terpelihara daripada pencemaran laut.

Ia juga membantu Malaysia mempertahankan industri perkapalan negara agar tidak terlalu terbeban dengan peraturan dan undang-undang antarabangsa yang terlalu ketat.

Penulis adalah Felo Penyelidik Pusat Teknologi Marin UTM serta ahli Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia

-BH Online