Ahad, 31 Mac 2024

‘Walau di sisi tuhan sah, daftarlah’, MB Kedah beritahu pusat tahfiz

 Ketika ini terdapat 107 madrasah dan sekolah pondok termasuk 70 maahad tahfiz tidak berdaftar di Kedah.

Menteri Besar Sanusi Nor berucap pada majlis berbuka puasa bersama pengetua dan mudir sekolah agama Kedah.

PETALING JAYA: Menteri Besar Sanusi Nor menggesa semua pusat tahfiz tidak berdaftar bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) berbuat demikian bagi membolehkan bantuan disalurkan.

Katanya, ketika ini terdapat 107 madrasah dan sekolah pondok termasuk 70 maahad tahfiz tidak berdaftar di negeri itu.

“Walaupun kita sedar ada isu menjadi halangan, bukan sebab sengaja mereka tidak mahu mendaftar tapi perkara ini penting bagi membolehkan sekolah agama dan maahad tahfiz beroperasi secara sah di sisi undang-undang.

“Walaupun di sisi tuhan sah dah, tapi di sisi undang-undang tu nak kena proses (daftar) bagi betul,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama pengetua dan mudir sekolah agama Kedah.

Sanusi berkata, jika pusat tahfiz tidak mendaftar maka pelbagai masalah akan timbul dengan mengambil contoh berlaku kebakaran yang melibatkan kematian.

“Kalau terbakar tak mati tak apa, kalau mati seorang dia (warganet) riuh, dia kata kita macam-macam (sampaikan) tok guru tak boleh tidur, ustaz tak boleh lena kerana netizen belasah bab aspek keselamatan tidak dititikberatkan…termasuk MB pun kena, walaupun dia tak tahu apa-apa.

“Jadi (pusat tahfiz) kena ikhtiar bagi lepas (daftar),” katanya.-FMT

0 ulasan:

Catat Ulasan