Rabu, 20 Mac 2024

DPM M’sia: Isu stoking ada kalimah Allah perlu jadi iktibar

 


KUALA LUMPUR: Semua pasar raya di Malaysia perlu mengambil iktibar kecuaian pasar raya KK Mart menjual stoking tertera kalimah Allah dan perkara itu adalah tanggungjawab yang tidak boleh diambil ringan oleh semua pihak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata isu stoking dengan kalimah Allah itu terkelas dalam isu 3R iaitu melibatkan agama (religion), raja (royal) dan kaum (race).

“Walaupun pihak KK Mart memohon maaf, namun ia bukan isu ringan. Ini bukan hanya isu agama tapi satu tanggungjawab yang tidak boleh dipandang ringan.

“Ada yang mengambil ringan dan kesempatan dan kita mesti menyelesaikan dengan segera agar tidak disalah tafsir. Kita tidak mahu isu ini ditunggangi oleh mereka yang berkepentingan,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut memberi amaran keras kepada KK Mart agar kejadian penjualan stoking yang tertera kalimah Allah tidak berulang.

Ketua Pengarah Jakim, Datin Paduka Hakimah Mohd Yusof, berkata pihaknya telah memanggil Datuk Chai Kee Kan berhubung isu kalimah Allah pada stoking yang dijual di rangkaian kedainya.

Katanya, syarikat itu memberi penjelasan mengenainya dan langkah untuk mengelakkan isu seumpama ini berulang.

“KK Supermart & Superstore Sdn Bhd juga bersetuju untuk mengkaji dan mengemas kini semula prosedur operasi standard syarikat,” katanya dalam satu kenyataan.

Kecekapan pihak berkuasa menjalankan siasatan termasuk menyerbu dan merampas stoking dengan cetakan kalimah Allah mendapat pujian Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim.

Beliau mengucapkan syabas kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas tindakan yang diambil berhubung isu itu.

“Syabas. MAINJ dan PDRM Kontinjen Johor sudah mengambil tindakan,” menurut hantaran di laman Facebook Pemangku Sultan Johor.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid, memaklumkan bahawa tindakan tegas dan hukuman yang seadilnya hendaklah dikenakan ke atas mereka yang bertanggungjawab mencemarkan kemuliaan nama Allah, tambahan lagi ia berlaku pada bulan Ramadan yang mulia.

“Saya akan memastikan segala kekuatan perundangan berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 juga Perlembagaan Persekutuan serta Enakmen dan undang-undang yang berkuat kuasa ketika ini dapat dikuatkuasakan bagi membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan yang sewajarnya,” katanya.

-BH Online Sg

0 ulasan:

Catat Ulasan