Selasa, 29 Mac 2022

KWSP perkenal portal untuk Pengeluaran Khas

 FOTO HIASAN

FOTO HIASAN

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bahawa ahli yang ingin mengeluarkan simpanan KWSP mereka di bawah kemudahan Pengeluaran Khas boleh berbuat demikian melalui portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my, yang juga boleh diakses melalui aplikasi mudah alih i-Akaun bermula 1 April 2022.

Dalam kenyataan pada 16 Mac 2022, KWSP mengumumkan bahawa permohonan untuk pengeluaran ini akan dibuka kepada ahli di bawah umur 55 tahun bermula 1 April dan berakhir pada 30 April 2022, manakala pembayaran akan bermula pada 20 April 2022.

Pembayaran akan dibuat dalam satu bayaran sahaja dan dikreditkan ke dalam akaun bank simpanan atau semasa ahli.

Ahli perlu memastikan bahawa akaun bank mereka adalah aktif dan di bawah nama ahli sendiri.

Akaun bersama atau yang didaftarkan di bawah nama syarikat adalah tidak dibenarkan.

Semakan status permohonan boleh dibuat bermula 9 April 2022 melalui portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my.

Sebelum mengemukakan permohonan, ahli digalakkan untuk menyemak baki simpanan KWSP mereka melalui i-Akaun (Ahli), aplikasi mudah alih i-Akaun, atau Kios KWSP.

Jumlah maksimum yang boleh dikeluarkan ialah RM10,000, dan minimum RM50, dan ahli perlu menggunakan sepenuhnya baki dalam Akaun 2 sebelum mengakses Akaun 1 mereka.

Ahli juga perlu mengekalkan jumlah minimum sebanyak RM100 dalam akaun mereka.

KWSP dalam kenyataan berkata, Pengeluaran Khas ini bertujuan untuk membantu ahli yang masih terkesan dengan pandemik untuk memenuhi keperluan mendesak hari ini.

"KWSP mengingatkan ahli supaya mempertimbangkan jaminan pendapatan mereka pada masa depan, dan hanya mengeluarkan simpanan mereka sekiranya benar-benar perlu.

"Ahli boleh berjumpa dengan pegawai Khidmat Nasihat Ahli di cawangan KWSP seluruh negara untuk mendapatkan nasihat percuma mengenai simpanan KWSP mereka," katanya.

Maklumat lanjut mengenai kemudahan pengeluaran khas ini boleh didapati di 'Ask ELYA' dalam laman web KWSP di www.kwsp.gov.my, Facebook, Twitter dan Instagram KWSP, atau menghubungi Hotline Pengeluaran Khas di 03-8922 4848 bermula 1 April 2022.

-myMetro

0 ulasan:

Catat Ulasan