Isnin, 7 Mac 2022

PRN Johor:'Tangan berbalut' - aktivis PN kata dikasari penyokong Umno


 PRN JOHOR | Seorang pekerja Perikatan Nasional (PN) membuat laporan polis selepas mendakwa dia dikasari penyokong Umno.

Video kejadian yang dirakam oleh pemandu teksi berusia 60 tahun itu menunjukkan tiga lelaki berkelakuan agresif, menjerit ke arahnya dan melanggar keretanya kerana memasang bendera PN berhampiran kampung mereka.

Sujali Ahmad hadir pada sidang media hari ini dengan memakai anduh menampung lengannya yang berbalut.

Dia diiringi Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan.

"Jadi petang saya arahkan jentera, jentera saya tak banyak, sebanyak tiga orang saya dan dengan jentera saya, sama-sama pasang (bendera).

"Kemudian hanya jalan besar saja saya pasang. Jalan Tebing Runtuh jalan besar saja, tak masuk ke Sekolah Pekijang, ke PDM (Pusat Daerah Mengundi) dia orang, ke kampung dia orang. Belum masuk lagi. Hanya jalan besar saja dah kena tahan dengan tiga orang.

"Dan mereka gertak saya, pukul saya, tangan dia hentak-hentak, cuba tuan-tuan pukul, tuan-tuan letak atngan macam ini apa rasa tuan-tuan.

"Dia tak rasa bila dia pukul orang. Yang kena pukul akan rasa. Jadi benda macam ini tak jangka berlaku," kata Sujali.

Kejadian berlaku berhampiran Kampung Tebing Runtuh di Gelang Patah, Johor pada Sabtu lalu (5 Mac) dan Sujali membuat laporan polis hari ini.

Kawasan itu terletak dalam kawasan DUN Kota Iskandar.

"Saya tak sangka peristiwa macam ini berlaku kerana kita rasa pilihan raya ini bebas masing-masing akan pasang benderea masing-masing," katanya.

Sujali menambah dia tidak memasang bendera di kampung itu tetapi di jalan utama menuju ke kampung berkenaan.

"Kenapa orang Umno buat macam ini," soalnya menjelaskan pada masa lalu dia pernah membantu pemimpin Umno.

Sujali kesal dengan sikap kasar sedemikian itu, berkata dia secara peribadi tidak mempunyai masalah untuk berinteraksi dengan parti lain.

"Amanah saya pernah bantu, BN saya pernah bantu, DAP pun saya pernah bantu. Saya ada gambar bawa Lim Kit Siang ke kampung-kampung. Ini (urusan) bantuan bukan politik. Bantuan saya terima untuk rakyat. Tapi politik tak boleh sebab saya dalam Bersatu," katanya lagi.

Sujali juga tersinggung dengan penyerang yang menghina Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin apabila dia cuba memasang bendera PN.

“Jangan hina Abah saya. Jangan hina Abah saya, nak hina bapa saya tak apa, tapi Abah saya jangan dihina.

“Kerana Muhyiddin Yassin telah memberi jasa yang banyak kepada kita…

“Kenapa hina tu, saya tak boleh terima," kata Sujali merujuk Muhyiddin yang dijulki gelaran Abah oleh penyokongnya.

Pada pilihan raya umum 2018, Amanah memenangi kerusi Kota Iskandar dengan majoriti 14,543 undi.

Kota Iskandar dan Skudai ialah dua kerusi DUN dalam kawasan parlimen Iskandar Puteri yang diwakili Lim Kit Siang daripada DAP.

Dzulkefly Ahmad yang mewakili Amanah mempertahankan DUN Kota Iskandar bawah logo Pakatan Harapan.

Dia berhadapan dengan calon BN Pandak Ahmad, Samsudin Ismail daripada PN, Zaini Abu Bakar daripada Pejuang dan calon PSM R Arkannal.

Rakyat Johor akan keluar mengundi pada 12 Mac.

-malaysiakini

0 ulasan:

Catat Ulasan