Selasa, 8 Mac 2022

Nasib baik BN kalah - Muhyiddin bidas Najib

 


KUALA LUMPUR: Dua bekas Perdana Menteri menggunakan perbahasan Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong untuk membidas ucapan Datuk Seri Najib Razak, berhubung isu syarikat pelaburan strategik, 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Dewan Rakyat.

Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) berkata, Dewan Rakyat dicemarkan oleh kenyataan Ahli Parlimen Pekan berkenaan hutang 1MDB yang didakwa tidak dibayar menggunakan wang rakyat.

"Ini suatu kenyataan yang tidak benar dan mengelirukan ahli-ahli Yang Berhormat.

"Saya hairan Pekan sebagai bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan boleh terlupa, hutang 1MDB dijamin oleh kerajaan.

"Apabila 1MDB gagal membayar hutang, termasuk faedah yang keseluruhannya berjumlah lebih RM50 billion, maka kerajaanlah yang terpaksa membayar hutang-hutang ini," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Minggu lalu, Najib ketika berbahas Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong mengingatkan ahli Dewan Rakyat, jangan memberikan alasan hutang 1MDB sebagai merosakkan kewangan negara.

Katanya, hakikatnya, tiada satu sen pun hutang 1MDB tidak pernah dibayar oleh kerajaan.

"Tidak betul untuk mencanangkan rakyat perlu membayar atau menanggung hutang 1MDB.

"Misalnya, bayaran sebanyak RM16.4 bilion yang diterima dari Goldman Sachs bukanlah dari wang rakyat. Itu wang Goldman Sachs yang boleh digunakan untuk membayar hutang 1MDB," katanya

Muhyiddin berkata, seperti yang dijelaskan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 3 Mac lalu, setakat akhir Februari 2022, jumlah hutang 1MDB yang masih perlu dibayar bernilai RM38.8 billion, merangkumi RM32.3 bilion hutang prinsipal dan RM6.5 bilion faedah hutang.

Katanya, Menteri Kewangan pada bulan Januari yang lalu turut memaklumkan, kerajaan sudah membayar hutang 1MDB berjumlah RM13.3 bilion.

"Maknanya, ini duit rakyatlah. Mungkin apa yang dimaksudkan oleh Pekan (Najib) oleh kerana kerajaan berjaya merampas semula sebahagian wang dan aset 1MDB yang telah dicuri, maka gunalah wang dan aset itu untuk membayar balik hutang 1MDB.

"Antara aset yang berjaya dirampas semula ialah sebuah kapal layar mewah bernilai AS$130 juta, sebuah jet peribadi Bombardier bernilai AS$35 juta dan aset-aset mewah milik anak tiri Pekan, iaitu sebuah 'townhouse' bernilai £23.2 juta di London, sebuah rumah mewah bernilai AS$17.5 juta di Beverly Hills dan sebuah kondominium mewah bernilai AS$35.5 juta di New York.

"Kesemua aset-aset ini tentunya dibeli bukan untuk tujuan pelaburan yang menguntungkan 1MDB, sebaliknya dikeroyok oleh orang-orang yang rapat dengan Pekan menggunakan sebahagian wang berjumlah AS$4.5 bilion yang dicuri dari 1MDB," katanya.

Muhyiddin berkata, nasib baik Barisan Nasional (BN) kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan Najib tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

Katanya, ketika beliau menjadi Perdana Menteri, kerajaan menubuhkan sebuah Pasukan Petugas Khas untuk merampas semula wang dan aset 1MDB yang dicuri.

"Semasa saya menjadi Perdana Menteri, saya telah mengarahkan Pasukan Petugas Khas ini untuk menjejak dan mendapatkan kembali wang dan aset 1MDB yang disorok di negara-negara asing.

"Saya difahamkan setakat ini, lebih RM20 billion wang dan aset 1MDB telah berjaya dirampas semula oleh kerajaan dan dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Asset yang akan digunakan untuk membayar sebahagian hutang 1MDB.

"Bayangkan jika Pekan masih Perdana Menteri. Saya tidak fikir dia akan tubuhkan sebuah Pasukan Petugas Khas untuk mencari wang dan aset 1MDB yang hilang kerana yang menghilangkan wang dan aset itu pun dia. Jadi, benarlah Pekan ini seorang yang cerdik. Cerdik berbohong," katanya.

Beliau berkata, kerosakan akan melanda negara jika integriti tidak dijadikan pegangan pemimpin yang mentadbir kerajaan.

"Apa lagi yang kesnya terkenal seantero dunia "the biggest scandal of the century" yang membabitkan rantaian penyangak kewangan global atau 'the plundering idiots' yang memalukan negara," katanya.

Sementara itu, Tun Dr Mahathir Mohamad (PEJUANG-Langkawi) dalam perbahasannya mendakwa Najib ada menulis surat kepada kerajaan, meminta dihadiahkan sebidang tanah atas jasanya sebagai Perdana Menteri.

Beliau mendakwa Najib menulis surat berkenaan sebanyak dua kali dan ia akhirnya diluluskan Kabinet selepas kali kedua surat itu dihantar.

"Saya mengetahui perkara itu kerana ada individu mendedahkan perkara itu kepadanya dan orang itu boleh dipercayai, kerana tegasnya, individu itu tidak akan tergamak berbohong kepadanya.

"Dia buat surat kepada kerajaan. Saya tak dapat tentukan tarikh tapi inilah yang berlaku. Tiada perasaan malu kerana orang ini mendakwa tidak perlu malu.

"Minta duit daripada orang (mengapa nak malu) kerana curi duit pun dia tidak malu. Apa hendak malu kerana dia bos. Itulah sebenarnya yang berlaku," katanya menjawab celahan Khalid Samad (PH-Shah Alam) yang ingin mengetahui sama ada bekas Perdana Menteri (Najib) memohon tanah itu ketika kesnya dibicarakan di mahkamah.

Dr Mahathir berkata, bekas Perdana Menteri itu mendapat hadiah tanah itu ketika kesnya masih dibicarakan.

"Pada waktu dia mendapat itu (hadiah tanah), saya fikir dia sedang dibicara dan keputusan dibuat bahawa dia bersalah.

Dalam perbahasan yang sama, Dr Mahathir turut mengkritik keputusan kerajaan yang melayan permohonan Najib tanpa merujuk kepada Dewan Rakyat dan peruntukan undang-undang sedia ada.

Katanya, tindakan itu seolah-olah kerajaan boleh berbuat apa saja keputusan tanpa mengikut undang-undang.

Dr Mahathir turut menegaskan, tiada dalam mana-mana peruntukan undang-undang atau Perlembagaan negara berhubung pemberian hadiah kepada bekas Perdana Menteri.

Katanya, beliau ada ditawarkan hadiah tetapi tidak mengambil walaupun ditawarkan sekeping tanah.

"Ketika menjadi Perdana Menteri gaji saya RM20,000 lebih daripada cukup. Bahkan, kerajaan juga beri segalanya yang diperlukan.

"Saya diberi rumah, api, air, pengangkutan, beberapa buah kereta, kapal terbang pun diberikan juga kepada saya.

"Apa lagi yang perlu diberikan kepada saya setelah saya bersara. Sebab itu, saya tidak ambil barang satu sen pun.

"Tetapi bila datang ke Perdana Menteri Ketujuh, berasas kepada apa yang diberikan kepada Perdana Menteri Kelima sebanyak RM70 juta, dia minta lebihlah … kerana jasanya lebih banyak. Dia curi lebih banyak.

"Jadi, kita perlu beri 'hadiah' lebih banyak iaitu sebanyak RM100 juta," ujarnya.

Beliau berharap, kerajaan tidak lagi membuat keputusan di luar undang-undang kerana ia akan mewujudkan ketidakstabilan dalam negara.

Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada sesi perbahasan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, hari ini. - Foto BERNAMA
Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada sesi perbahasan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, hari ini. - Foto BERNAMA

-BH Online

0 ulasan:

Catat Ulasan