Rabu, 30 Mac 2022

Pensyarah UiTM hina pelajar kena tindakan tegas: Naib Canselor

 

Tangkap layar rakaman video tular sejak semalam menunjukkan pensyarah memarahi secara melampau pelajar dalam sesi pembelajaran secara dalam talian.

Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan mengambil tindakan tegas terhadap seorang pensyarahnya yang mengeluarkan kata-kata hinaan terhadap pelajar ketika sesi pembelajaran dalam talian, yang tular di media sosial sejak semalam.

Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Roziah Mohd Janor berkata UiTM bertegas untuk tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan nama baik universiti itu sama ada dengan sengaja atau tidak.

“Kewujudan UiTM adalah untuk membantu golongan tidak berkemampuan meneruskan pembelajaran di peringkat universiti.

“Sememangnya dan sewajarnya UiTM membantu golongan B40. Justeru, segala kemudahan pembiayaan melalui dan-dana tertentu disediakan UiTM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Roziah berkata, UiTM telah menyediakan pelbagai dana untuk kegunaan pelajar yang kurang berkemampuan bagi memperoleh kemudahan pembelajaran seperti dana amanah pelajar dan bantuan pusat zakat serta pihak alumni.

“Bagi pelajar yang berhadapan dengan masalah, hubungi pihak universiti untuk dapat khidmat nasihat dan bantuan sewajarnya bagi melancarkan proses pembelajaran,” katanya.

Sementara itu, dalam video berdurasi 1.44 saat yang tular di media sosial sejak semalam, pensyarah terbabit didapati memarahi dan mengeluarkan kecaman melampau kepada seorang daripada pelajarnya.

“Pasal itu aku tidak boleh duduk dengan orang B40”. Itu antara kata-kata yang terpacul dari mulut pensyarah terbabit yang menempelak seorang pelajarnya pada sesi pembelajaran dalam talian.

Situasi itu dikatakan berlaku apabila pensyarah tersebut berang setelah pelajar berkenaan tidak membuka kamera ketika sesi pembelajaran dijalankan.

Bagaimanapun, tindakan pensyarah itu memarahi pelajar tersebut menimbulkan kemarahan orang ramai apabila mengeluarkan kenyataan berupa hinaan kepada orang miskin.

Berikut transkrip interaksi antara pensyarah dan pelajar tersebut, seperti dilapor UtusanTV.

Pensyarah: Macam cakap dengan tunggul. Berapa jawapan dia? Negatif?

Pelajar: 0.77

Pensyarah: Kau pakai apa? Kau pakai fon eh?

Pelajar: Ha ye Prof.

Pensyarah: Mana kau punya komputer?

Pelajar: Aaaa…Saya takde komputer Prof.

Pensyarah: Kau tinggal kat mana?

Pelajar: Seremban.

Pensyarah: Kau tinggal kat Seremban. Bapak kau kerja apa?

Pelajar: Tak kerja Prof.

Pensyarah: Mak kau kerja apa?

Pelajar: Dah takde Prof.

Pensyarah: Mak kau dah takde. Bapak kau takde kerja?

Pelajar: Iye Prof.

Pensyarah: So takde adik-beradik?

Pelajar: Ada Prof.

Pensyarah: Kau cakap dengan kakak kau, kalau dia ada gelang emas, pergi jual gelang emas, pergi beli komputer. Aku cakap dengan kamu. Kalau kau ada kakak yang ada gelang emas, pergi jual gelang emas beli komputer. Pasal itu kau tak boleh belajar dengan baik disebabkan kerana engkau tidak ada komputer. Lepas ini aku akan ajar engkau Excel, pasal itu kau akan menjadi ‘drop out’ student. Semester Lima kau tak ada komputer. Aku sanggup tak ada pakaian, aku ada lima helai je pakaian, the most important is the computer is very very important for me. Hanya RM800 saja beli komputer. Apa masalah kau? Pasal itu aku tidak boleh duduk dengan orang B40. arghhh.. Dia lebih memikirkan pasal lain daripada pelajaran. Okey kelas, kau tutup kamera kau tu. Aku tak nak tengok lagi dah.

-Agenda Daily

0 ulasan:

Catat Ulasan