PETALING JAYA: Calon MUDA bagi kerusi Bukit Permai, Azrol Rahani, mempersoalkan dwistandard dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) pilihan raya negeri (PRN) Johor.
Ini selepas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilihat berlaga penumbuk dengan seorang penyokong di bilik gerakan Barisan Nasional di Iskandar Puteri, Johor, semalam.
Bagaimanapun, beliau tidak didenda, berlainan dengan Azrol yang didenda RM1,000 kerana berlaga penumbuk dengan penyokong pada hari penamaan calon Sabtu lepas.
“Saya sangat marah Menteri Kesihatan sendiri terlepas berlaga penumbuk, sedangkan saya didenda,” katanya dalam kenyataan.
“Jika berlaga penumbuk tidak dibenarkan, maka sepatutnya tidak dibenarkan untuk semua orang.
“Lebih mengecewakan, Menteri Kesihatan sendiri yang melanggar dan tidak mengendahkan (SOP).”
Beliau mempersoalkan sama ada peraturan dan SOP yang ketat hanya terpakai bagi parti pembangkang.
Pada 26 Feb, Azrol dikenakan kompaun oleh pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Kulai mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana gagal mengamalkan penjarakan fizikal di pusat penamaan calon.
Pengurus kempennya, Amos Thien mendakwa pihak berkuasa kesihatan “bertindak keterlaluan” dengan mengeluarkan kompaun kepada Azrol dan menegaskan ia adalah “laga penumbuk biasa” dengan penyokong di luar pusat penamaan calon.
Katanya, taklimat Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai SOP PRN Johor, yang dihadiri polis dan pihak berkuasa kesihatan, tidak menyebut berlaga penumbuk tidak dibenarkan.
Beliau menegaskan Azrol dan pasukannya mematuhi SOP serta mempersoalkan kenapa tiada tindakan diambil terhadap pemimpin politik lain atas perbuatan sama.-FMT
0 ulasan:
Catat Ulasan