Sabtu, 5 Mac 2022

Mak Tangmo maafkan pemilik bot lepas ditawarkan jutaan baht

 


Ibu kepada pelakon Thailand, Nida “Tangmo” Patcharaveerapong, semalam berkata, dia sudah memaafkan dua lelaki yang terbabit dalam kes kematian misteri anaknya itu.

Dalam temubual dengan program Hone Krasea TV Channel 3, Panida Siriyuthayothin berkata dia memaafkan pemilik bot laju tersebut, Tanupat “Por” Lerttaweewit, dan pemandunya, Phaiboon “Robert” Trikanjananun.

Jelas Panida, Por menghubunginya sehari selepas Tangmo hilang pada 24 Feb lalu dan menyatakan hasrat ingin bersemuka bagi memohon maaf secara berdepan.

Pada awalnya, kata Panida, dia enggan menerima cadangan tersebut tetapi menukar fikiran selepas Por menghubunginya melalui panggilan telefon bertalu-talu.

Por juga, kata Panida, berjanji untuk menjaganya sama seperti apa yang dilakukan Tangmo sebelum ini.

“Saya maafkan dia sebab dia menelefon saya tanpa henti walaupun tahu ketika itu saya sangat terluka,” katanya dipetik Bangkok Post.

Bagaimanapun, permohonan maaf Por itu tidak datang bersahaja. Pemilik bot tersebut turut menawarkan sejumlah wang pampasan agar permohonan maafnya itu diterima.

Ada rancangan sendiri

Kata Panida, dia juga sudi menerima bayaran ganti rugi tersebut daripada Por yang menjanjikan untuk memberi jumlah yang telah dikira olehnya.

“Katakanlah jika Mo (Tangmo) memperoleh sejuta baht daripada siri televisyen. Jika dia hidup selama 30 tahun lagi, saya boleh mendarabkan jumlah itu dengan 30.

“Ini masih tidak termasuk kehilangan pendapatan daripada sesi bergambar sebagai model,” katanya.

Terdahulu, aktres yang pernah membintangi filem The Flying Leaf itu didakwa terjatuh dari belakang bot laju ke dalam Sungai Chao Phraya kira-kira jam 11 malam ketika menaiki bot laju bersama empat rakannya.

Ketika kejadian, Tangmo, 37, dilaporkan tidak memakai jaket keselamatan.

Mayat Tangmo ditemukan selepas operasi mencari dan menyelamat berlangsung selama 38 jam.

Lima individu menaiki bot laju bersama Tangmo mungkin berdepan pertuduhan mengakibatkan kecuaian hingga menyebabkan kematian.

Selain Por, Panida turut memaafkan Robert kerana pemandu itu menemani majikannya semasa mereka bersemuka.

Namun, Panida menafikan dakwaan bahawa kemaafan itu diberikan kepada Por dan Robert berdasarkan ganti rugi yang akan diterimanya.

Pada masa sama, dia menzahirkan kekecewaannya terhadap beberapa rakan Tangmo kerana menyatakan perancangan untuk majlis pengebumian anaknya itu dalam temu bual tanpa meminta pendapatnya terlebih dulu.

Katanya, dia sudah mempunyai perancangan sendiri untuk mengendalikan majlis pengebumian anaknya.

Panida juga berkata, dia tidak dapat memaafkan pengurus Tangmo, Idsarin “Gatick” Juthasuksawat ekoran tidak menghubunginya langsung untuk memaklumkan kematian anaknya itu hingga tiga hari kemudian.

-malaysiakini

0 ulasan:

Catat Ulasan