KOTA TINGGI: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 Johor bakal memberi mesej jelas, sama ada rakyat kembali menerima golongan perasuah dan penyamun atau mendambakan pembangunan ekonomi.
Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika menyuarakan pendirian itu, berkata Johor bukan negeri pertama yang menghadapi pilihan raya sejak kerajaan dipilih oleh rakyat dijatuhkan oleh gerakan 'pintu belakang'.
Tegasnya, PRN Johor tidak perlu diadakan kerana keadaan di negeri terbabit dan seluruh negara masih meruncing akibat COVID-19 yang menjejaskan ekonomi.
"Jika mereka menang dalam PRN Johor ini, mesej yang disampaikan kepada seluruh rakyat Malaysia ialah perasuah dan penyamun wang negara boleh diterima serta diberi kuasa kembali untuk meneruskan perbuatan mereka.
"Saya tidak fikir rakyat Johor akan pilih calon-calon daripada parti yang dipimpin dan didalangi oleh perasuah serta penyamun.
"Saya yakin rakyat Johor akan tolak penyangak yang tidak ada nilai, prinsip, amanah dan sifat mulia yang lain. Begitu juga dengan parti yang dipimpin pengkhianat walaupun dia dari Negeri Johor.
"Rakyat Johor berkali-kali buktikan bahawa mereka bersedia tolak pemimpin dan parti yang menyeleweng daripada landasan," katanya menerusi kenyataan, semalam.
Menyedari kepentingan rakyat, Dr Mahathir berkata, PEJUANG akan bertanding 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, dengan semua calon parti berkenaan berikrar akan menolak rasuah, salah guna kuasa dan pengkhianatan.
Sekiranya diberikan peluang memerintah Johor, katanya, amalan yang baik sedemikian akan memastikan usaha membangunkan kembali ekonomi dan kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan.
"Sokonglah PEJUANG dan beri peluang untuk dirikan kerajaan yang bebas rasuah di Johor ini. Selamat mengundi," katanya.
-BH Online
0 ulasan:
Catat Ulasan