Jumaat, 4 Mac 2022

PRN Johor: Lapan tunjang, 24 strategi, 145 pendekatan PN Demi Bangsa Johor

 

Perikatan Nasional melancarkan manifesto PRN Johor hari ini.

Perikatan Nasional (PN) hari ini mengetengahkan lapan tunjang, 24 strategi dan 145 pendekatan Demi Bangsa Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Mac ini.

Lapan Tunjang Demi Bangsa Johor itu ialah:

1. Kepimpinan Berintegriti Dan Bebas Rasuah;
2. Keutuhan Ekonomi;
3. Keutamaan Tangani Kos Sara Hidup;
4. Keprihatinan Kepada Rakyat;
5. Kesejahteraan Sosial;
6. Kecekapan Infrastruktur;
7. Kerancakan Sektor Pelancongan; dan
8. Kelestarian Alam Sekitar.

Berikut adalah lapan tunjang, 24 strategi dan 145 pendekatan yang ditawarkan PN kepada bangsa Johor

TUNJANG 1 – Kepimpinan Berintegriti dan Bebas Rasuah

Strategi 1
Memperteguh Kepimpinan Dan Tadbir Urus Berintegriti Serta Mewujudkan Negeri Bebas Rasuah

1. Mendokong pemimpin dan tadbir urus berintegriti, bebas rasuah serta menolak penyalahgunaan kuasa;
2. Melaksanakan pembangunan negeri berdasarkan nilai moral, etika dan integriti;
3. Memastikan hasil sumber bumi Johor digunakan sebaiknya untuk pembangunan negeri dan rakyat;
4. Melantik pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Raya Johor dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang;
5. Mewajibkan ADUN untuk membentangkan laporan perbelanjaan peruntukan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi tatapan orang awam; dan
6. Memperkenalkan Program Keutuhan Kepimpinan Johor yang fokus kepada sistem nilai serta bersandarkan aspek kerohanian kepada pemimpin di semua peringkat, termasuk daerah dan kampung.

Strategi 2
Meningkatkan Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan Kerajaan Negeri

1. Memperkasakan tadbir urus syarikat milik Kerajaan Negeri dan menyusun semula syarikat bagi mengoptimumkan penjanaan keuntungan serta meningkatkan daya saing di peringkat global;
2. Mengoptimumkan pendigitalan perkhidmatan awam negeri, termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT);
3. Meningkatkan ketelusan penyampaian bantuan Kerajaan Negeri bagi memastikan pengagihan yang adil dan saksama kepada semua lapisan masyarakat;
4. Merakyatkan perkhidmatan awam negeri melalui program town hall bersama rakyat secara berkala;
5. Meningkatkan penglibatan wakil persatuan perniagaan dan pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) sebagai ahli majlis daerah/perbandaran/bandaraya;
6. Meningkatkan libat urus bersama wakil industri dan masyarakat dalam merangka polisi Kerajaan Negeri; dan
7. Meningkatkan ketelusan dalam perolehan Kerajaan Negeri, termasuk penyelenggaraan jalan negeri, jalan PBT dan jalan kampung.

TUNJANG 2 – Keutuhan Ekonomi

Strategi 1
Memperkasa Masa Depan Ekonomi Johor

1. Menyediakan Pelan Sedekad Ekonomi Johor 2022 – 2032 yang menyeluruh dan holistik dengan:

  • Mengutamakan penglibatan semua lapisan masyarakat;
  • Menumpukan kepada industri strategik dan berimpak tinggi, termasuk infra digital, pengangkutan awam moden, penjanaan tenaga hijau dan pertanian pintar;
  • Mengambil kira impak pandemik Covid-19; dan
  • Matlamat menjadikan ekonomi Johor berdaya saing di peringkat serantau dan antarabangsa.

2 Menubuhkan Task Force Pulih Johor bagi melaksana inisiatif pemulihan ekonomi dan kebajikan pekerja yang terkesan akibat pandemik Covid-19 khususnya penutupan sempadan Johor – Singapura;
3. Menyediakan insentif khas bagi menggalakkan penyertaan pelabur asing dan domestik dalam industri strategik dan berimpak tinggi seperti petroleum, infra digital serta elektrikal dan elektronik dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan;
4. Mempercepatkan pelaksanaan Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) bagi menjadi hab industri hiliran minyak dan gas serantau dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Petronas;
5. Merancakkan pembangunan Zon Ekonomi Khas Pagoh, termasuk menarik pelabur daripada syarikat gergasi tempatan dan antarabangsa;
6. Mengoptimumkan potensi hab logistik Gerbang Selat Melaka – Johor dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf pelabuhan utama bagi meningkatkan aksesibiliti, kemudahan logistik dan integrasi dengan kawasan perindustrian sekitar;
7. Memperkasakan Johor sebagai hab pengeluaran makanan negara dengan meningkatkan produktiviti taman kekal pengeluaran makanan dan zon pengeluaran makanan serta memperkukuhkan rantaian bekalan melalui penggunaan teknologi digital dan penambahbaikan prasarana;
8. Menjadikan Johor sebagai hab digital negara dengan menarik pelabur daripada syarikat teknologi antarabangsa serta menyediakan akses kepada tenaga hijau dan pekerja mahir dalam kalangan anak Johor;
9. Merancakkan pembangunan industri tenaga hijau dengan memudah cara penyediaan tanah ladang solar, penggunaan sisa sawit dan pertanian untuk biojisim serta pemberian insentif khas pembangunan tenaga angin;
10. Mengukuhkan kerjasama ekonomi serantau Johor – Indonesia – Singapura melalui kolaborasi pemain industri utama serta pusat penyelidikan dalam bidang pelancongan, kesihatan dan agromakanan;
11. Menjadikan wilayah utara Johor sebahagian daripada Koridor Ekonomi Pantai Timur bagi mengoptimumkan potensi pembangunan ekonomi kawasan berkenaan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan; dan
12. Mengoptimumkan hasil pertanian dan perikanan serta industri hiliran yang bernilai tinggi melalui penggunaan teknologi digital, peralatan moden dan pemasaran yang cekap dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan.

Strategi 2
Memperkasa PMKS Sebagai Pemangkin Ekonomi

1. Memberikan pengecualian sepenuhnya bayaran lesen perniagaan bagi PMKS di seluruh negeri Johor untuk tempoh 5 tahun;
2. Memperkenalkan Skim Prihatin PMKS bagi membantu usahawan Johor yang terkesan akibat pandemik COVID-19 menerusi bantuan dana, kemahiran dan latihan;
3. Merancakkan penglibatan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebagai pemangkin pembangunan ekonomi negeri Johor dengan menyediakan hab PMKS yang dilengkapi dengan kemudahan bersesuaian mengikut keunikan sektor ekonomi kawasan berkenaan; dan
4. Meningkatkan kerjasama PMKS dengan syarikat berkaitan Kerajaan (GLCs) dan pemain industri utama serta institusi latihan kemahiran bagi memaksimumkan potensi PMKS.

Strategi 3
Menjana Peluang Pekerjaan Berkualiti Dan Berpendapatan Tinggi

1. Menstruktur semula ekonomi negeri dengan memberi fokus kepada penyediaan pekerjaan berkualiti dan berpendapatan tinggi dalam industri strategik serta meningkatkan peluang pekerjaan mahir dan separa mahir untuk semua lapisan masyarakat;
2. Menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan bagi graduan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) melalui kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri, pemain industri antarabangsa serta institusi TVET; dan
3. Memperkasakan program peningkatan kemahiran dan latihan semula (reskilling and upskilling) bagi meningkatkan kebolehpasaran pekerja dan padanan pekerjaan.

TUNJANG 3 – Keutamaan Tangani Kos Sara Hidup

Strategi 1
Meringankan Kos Sara Hidup

1. Memperkenalkan skim air percuma sebanyak 20 meter padu kepada isi rumah berpendapatan rendah;
2. Memperluaskan program Jualan Prihatin Rakyat di setiap daerah;
3. Memperkenalkan bakul makanan Johor Prihatin yang diagihkan secara berkala kepada keluarga yang memerlukan;
4. Meningkatkan kecekapan rantaian bekalan makanan, termasuk jualan terus dari ladang serta penambahan lokasi dan kekerapan pasar tani;
5. Memperkasakan penyelarasan dan memudah cara pengagihan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri serta sumbangan zakat bagi memastikan tiada kumpulan yang memerlukan tercicir, termasuk OKU;
6. Mewujudkan Dana Kebuniti Johor bagi menggalakkan aktiviti pertanian komuniti dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan, pihak swasta dan NGO;
7. Mengoptimumkan penggunaan tanah terbiar milik Kerajaan Negeri untuk aktiviti pertanian dan dijadikan pusat pengumpulan hasil pertanian, perikanan dan penternakan;
8. Memperkasakan perkhidmatan Bas Muafakat Johor bagi mengoptimumkan akses pengangkutan yang menyeluruh kepada kumpulan yang memerlukan; dan
9. Meningkatkan pemantauan serta penguatkuasaan kawalan harga barang dan perkhidmatan dengan kerjasama masyarakat, PBT dan Kerajaan Persekutuan.

Strategi 2
Meningkatkan Pendapatan Kumpulan Sasar

1. Menambah pendapatan petani, penternak dan nelayan dengan memberi fokus kepada aktiviti pertanian bernilai tinggi seperti jagung bijirin, nanas premium dan akuakultur;
2. Memperkasakan penglibatan petani, penternak dan nelayan dalam industri hiliran seperti penghasilan makanan sejuk beku melalui penyelarasan bantuan, latihan dan pemasaran dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan;
3. Menjamin pendapatan petani dengan memudah cara dan memperbanyakkan program ladang kontrak dengan kerjasama agensi Kerajaan dan pihak swasta;
4. Menyediakan bantuan khas kepada penjaja dengan memberi pengurangan bayaran lesen dan sewa tapak perniagaan secara one-off; dan
5. Menyediakan bantuan khas kepada nelayan berdaftar yang terkesan akibat projek pembangunan di pesisir selat Johor.

TUNJANG 4 – Keprihatinan Rakyat

Strategi 1
Memperkasa Peranan Belia Dalam Pembangunan Negeri

1. Memperkenalkan pelan 5 tahun lonjakan sosioekonomi belia Johor melalui penekanan kepada aspek pendidikan, keusahawanan, pembangunan prasarana serta pembangunan modal insan dan sahsiah;
2. Menubuhkan Institut Kepimpinan Anak Muda Johor untuk melahirkan pemimpin muda yang berdaya saing di peringkat global melalui kerjasama Kerajaan Persekutuan dan pihak swasta;
3. Mewujudkan Dewan Undangan Negeri Belia sebagai platform rasmi untuk suara aspirasi generasi belia seluruh Johor;
4. Meningkatkan penglibatan belia anak kelahiran Johor sebagai ahli majlis daerah/perbandaran/bandaraya;
5. Meningkatkan penyertaan persatuan dan NGO belia dalam pembentukan polisi Kerajaan Negeri;
6. Memperbanyakkan latihan yang menawarkan sijil kemahiran bagi menyediakan tenaga kerja mahir dan separa mahir melalui kerjasama Kerajaan Persekutuan dan pemain industri;
7. Mewujudkan pusat sehenti bagi memudah cara dan menyelaraskan bantuan Kerajaan dan pihak swasta serta sumbangan zakat kepada anak muda Johor yang mendapat tawaran ke institusi pendidikan seperti IPTA dan sekolah berasrama sepenuhnya;
8. Menyediakan komputer riba dan bantuan tunai kepada anak muda Johor daripada keluarga kurang berkemampuan yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPTA;
9. Melaksanakan Program Belia Digital Johor bagi meningkatkan kemahiran dan kepakaran digital, termasuk dalam bidang animasi, grafik dan pengekodan;
10. Memperkasakan koperasi anak muda Johor melalui program latihan dan khidmat nasihat yang menekankan kepada pengurusan dan tadbir urus koperasi yang cekap dan berdaya maju, termasuk digitalisasi;
11. Mewujudkan Dana Digital Niaga bagi membantu peniaga muda Johor mengoptimumkan potensi perniagaan melalui penggunaan teknologi digital serta menyediakan khidmat nasihat dan latihan berkaitan;
12. Menjadikan Johor negeri terunggul dalam bidang sukan dengan menyediakan kemudahan sukan berkualiti, termasuk membina, menaik taraf dan menyelenggara stadium serta kompleks sukan komuniti dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan dan pihak swasta;
13. Menyediakan Geran Johor Juara bagi memperkasa persatuan atau kelab sukan untuk melahirkan bakat berpotensi dalam kalangan anak muda Johor;
14. Menyediakan bantuan baucar tunai kepada belia daripada keluarga kurang berkemampuan untuk mendapatkan lesen motosikal;
15. Menyediakan perlindungan insurans takaful percuma kepad anak muda Johor dalam industri gig dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (SOCSO);
16. Menyediakan pusat sehenti program perumahan belia bagi menyelaras bantuan berkaitan perumahan yang disediakan oleh Kerajaan dan pihak swasta serta menawarkan khidmat nasihat mengenai pemilikan dan penyewaan rumah;
17. Menawarkan perkhidmatan kaunseling secara percuma, ‘Hear Me’ kepada anak muda dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan dan pihak swasta; dan
18. Memperkenalkan Geran Khas eSukan untuk usahawan belia bagi menyediakan fasiliti eSukan yang akan menggalakkan penyertaan anak muda Johor dan seterusnya melahirkan pemain eSukan bertaraf dunia.

Strategi 2
Meningkatkan Penyertaan Wanita Dalam Sektor Ekonomi

1. Membangunkan pelan 5 tahun lonjakan sosioekonomi wanita Johor yang menyeluruh meliputi aspek pendidikan, keusahawanan, kerjaya dan keluarga;
2. Memastikan penyertaan sekurang-kurangnya 30% wanita dalam lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi syarikat milik Kerajaan Negeri serta agensi Kerajaan Negeri;
3. Meningkatkan penglibatan suri rumah, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) wanita dalam bidang keusahawanan serta menyediakan latihan teknologi digital dan khidmat nasihat melalui kerjasama agensi Kerajaan dan pihak swasta; dan
4. Memperkasakan koperasi wanita dalam aktiviti ekonomi terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana dengan menyediakan insentif serta latihan dan khidmat nasihat, termasuk berkaitan teknologi digital.

Strategi 3
Memperkukuh Institusi Kekeluargaan Dan Komuniti

1. Menyediakan dana khas untuk pasangan belia Johor yang baru berkahwin;
2. Menyediakan pusat sehenti, termasuk perkhidmatan bergerak yang menawarkan bantuan kebajikan, khidmat kaunseling, khidmat guaman, tempat perlindungan serta lain-lain bantuan melalui kerjasama Kerajaan Persekutuan;
3. Memperkasakan pertubuhan seperti Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim dan NGO berkaitan dalam melaksanakan program perlindungan sosial;
4. Menyediakan lebih banyak pusat penjagaan kanak-kanak di agensi Kerajaan Negeri;
5. Memperkenalkan insentif khas bagi menggalakkan pihak swasta menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja melalui kerjasama Kerajaan Persekutuan;
6. Mengoptimumkan penggunaan pusat komuniti dan padang awam di setiap daerah untuk program dan aktiviti pembangunan sahsiah serta sukan untuk kanak-kanak;
7. Memberi bantuan J-Kids sebanyak RM150 kepada setiap anak kelahiran Johor daripada keluarga berpendapatan rendah;
8. Menambah lebih banyak taska komuniti di lokasi bersesuaian bagi membantu keluarga berpendapatan rendah yang memerlukan; dan
9. Memperkenalkan Surau Prihatin Johor yang merupakan surau bergerak di kawasan tumpuan orang ramai seperti tapak pasar malam dan karnival.

Strategi 4
Mempertingkat Kesejahteraan Warga Emas

1. Memperkasakan pusat komuniti di setiap daerah dengan pelbagai aktiviti untuk warga emas, termasuk kesihatan dan kerohanian;
2. Menaik taraf taman rekreasi dan tempat riadah dengan kemudahan mesra warga emas;
3. Menyediakan program serta latihan bersesuaian kepada pesara penjawat awam yang ingin melibatkan diri dalam aktiviti ekonomi dan kesukarelawan;
4. Menyediakan Kad Sejahtera Johor, iaitu skim perlindungan takaful kepada warga emas; dan
5. Menambah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di setiap daerah dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan.

Strategi 5
Memperkasa Orang Kurang Upaya (OKU)

1. Meningkatkan penglibatan OKU dalam pembentukan polisi Kerajaan Negeri;
2. Meluaskan akses OKU kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan dengan penyediaan fasiliti dan kemudahan mesra OKU;
3. Meningkatkan penyediaan kemudahan dan fasiliti mesra OKU yang berkualiti di semua bangunan awam dan premis swasta dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan;
4. Memperkenalkan Dana Niaga OKU bagi membantu OKU menceburi bidang keusahawanan serta menyediakan latihan kemahiran dan khidmat nasihat, termasuk inovasi dan pendigitalan, untuk mengoptimumkan potensi perniagaan;
5. Menambah baik pusat pemulihan OKU di setiap daerah serta memperkasa program pemulihan, termasuk rawatan perubatan dan latihan vokasional dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan; dan
6. Melaksanakan inisiatif Road to Paralympics bagi mencungkil lebih banyak bakat OKU muda yang berpotensi dalam bidang sukan dan seterusnya digilap untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Strategi 6
Memajukan Sosioekonomi Masyarakat Orang Asli

1. Memperkukuhkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi:

  • Membina dan menaik taraf infrastruktur dan kemudahan sosial seperti dewan orang ramai, jalan perhubungan, bekalan elektrik, bekalan air terawat serta telekomunikasi, termasuk capaian Internet di kampung orang asli;
  • Memperkasakan kemahiran digital dan menyediakan program latihan bagi meningkatkan penyertaan orang asli dalam aktiviti ekonomi, termasuk ekopelancongan, hasil hutan dan pertanian organik

2. Menyediakan komputer riba dan bantuan tunai kepada anak orang asli yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPTA; dan
3. Meningkatkan kemasukan murid orang asli yang berpotensi di sekolah asrama sepenuhnya melalui kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.

Strategi 7
Mensejahterakan Komuniti FELDA

1. Memperkukuhkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bagi:

  • Membina dan menaik taraf kemudahan serta prasarana asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan perkhidmatan Internet/jalur lebar di kawasan rancangan FELDA;
  • Memastikan projek perumahan generasi baharu FELDA yang sedang dibaik pulih serta dijadualkan siap pada tahun 2022 dapat disegerakan;
  • Menyelamatkan projek perumahan generasi baharu FELDA terbengkalai yang berpotensi untuk dibaik pulih dengan segera;
  • Mempergiatkan penglibatan koperasi FELDA dalam Program Pembangunan Peneroka dengan menumpukan kepada aktiviti pertanian bernilai tinggi melalui penggunaan teknologi dan automasi terkini serta strategi pemasaran menyeluruh; dan
  • Meningkatkan penglibatan warga FELDA, termasuk anak muda dalam aktiviti ekonomi dan keusahawanan berdasarkan keunikan sektor ekonomi di sesebuah kawasan tanah rancangan seperti agropelancongan, pelancongan sukan lasak dan pertanian kontan bernilai tinggi.

2. Menetapkan kadar premium tanah sebanyak RM1.00 sekaki persegi bagi semua lot tanah yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri di bawah Program Pemberimilikan Lot Tanah Generasi Baharu FELDA untuk tujuan pembinaan rumah oleh generasi baharu FELDA.

TUNJANG 5 – Kesejahteraan sosial

Strategi 1
Memperhebat Generasi Pewaris Johor Melalui Pendidikan Berkualiti

1. Menjadikan Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP) sebagai bandar ilmu serantau dengan menyediakan insentif khas dan persekitaran kondusif untuk institusi pendidikan TVET serta institusi pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa;
2. Menyediakan kuota khas kemasukan anak Johor ke institusi pengajian tinggi awam di negeri Johor dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dan menyediakan bantuan pendidikan yang bersesuaian dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan dan pihak swasta;
3. Menjadikan Kolej Pengajian Islam Johor sebagai institusi pendidikan Islam yang berprestij;
4. Membina sekolah baharu di kawasan padat penduduk dan menaik taraf serta menyelenggara fasiliti pendidikan bagi menyediakan akses pendidikan berkualiti dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan;
5. Membina pusat Genius KURNIA untuk anak-anak istimewa Johor dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan;
6. Memudah cara penyediaan kemudahan Internet berkelajuan tinggi di sekolah Kerajaan bagi memperkasa pendidikan digital dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan;
7. Mempergiatkan kerjasama dengan pihak awam dan swasta untuk menyediakan peranti digital kepada murid;
8. Menempatkan murid berpotensi daripada keluarga yang kurang berkemampuan di sekolah asrama sepenuhnya melalui kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan;
9. Memberi fokus kepada murid yang tercicir daripada sistem pendidikan, termasuk murid berkeperluan khas (MBK) untuk mendapatkan akses kepada pendidikan berkualiti melalui kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan;
10. Menyediakan bantuan penyelenggaraan kepada semua sekolah agama yang berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Johor dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan dan pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) yang berkaitan;
11. Memantapkan kurikulum sekolah agama negeri Johor dan profesionalisme warga pendidikan bagi memperkasa syiar Islam; dan
12. Memperkasakan sekolah agama negeri Johor dengan menyediakan fasiliti pengajaran dan pembelajaran yang lebih kondusif dan moden, termasuk pendigitalan serta latihan berkaitan kepada warga pendidik.

Strategi 2
Meningkatkan Penyampaian Perkhidmatan Kesihatan

1. Mempercepatkan pembinaan dan naik taraf hospital/klinik kesihatan yang dilengkapi fasiliti terbaik, termasuk parkir dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan;
2. Menyediakan Skim Takaful Prihatin Johor kepada keluarga atau individu berpendapatan rendah untuk mendapatkan rawatan di hospital dan klinik swasta; dan
3. Menyediakan Kad Prihatin Johor kepada keluarga atau individu berpendapatan rendah untuk mendapatkan rawatan di klinik swasta.

Strategi3
Meningkatkan Akses Perumahan Mampu Milik

1. Melaksanakan pengagihan rumah mampu milik kepada rakyat secara telus;
2. Mempercepatkan dan memudah cara pembinaan rumah mampu milik yang berkualiti melalui kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan pihak swasta;
3. Mempercepatkan pemulihan projek rumah mampu milik yang terbengkalai dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan;
4. Memastikan pemaju menyiapkan kuota rumah mampu milik dengan segera atau akan disenarai hitam sekiranya gagal;
5. Menambah rumah transit dan projek perumahan rakyat di kawasan terpilih untuk sewaan kepada pasangan belia yang baru berkahwin; dan
6. Mempergiatkan penyelenggaraan kemudahan guna sama di kawasan perumahan berstrata dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan dan pihak swasta.

Strategi 4
Memperkasa Keselamatan dan Ketenteraman Awam

1. Membanteras kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan memperketatkan kawalan keselamatan di kawasan perairan sempadan negara dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan;
2. Mempergiatkan operasi penguatkuasaan terhadap PATI di seluruh negeri, termasuk operasi penangkapan PATI dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan; dan
3. Meningkatkan kualiti pemantauan keselamatan berdigital di kawasan bandar utama, termasuk tambahan CCTV polis dan butang kecemasan, dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan.

Strategi 5
Memperkukuh Perpaduan Bangsa Johor

1. Menyediakan Dana Harmoni Johor bagi pelaksanaan program perpaduan untuk menyemarak semangat kesepaduan rakyat berbilang kaum;
2. Melaksanakan Program Sejahtera Johor pada setiap hari Sabtu di mana pelbagai aktiviti perpaduan, sukan dan kerohanian serta riadah keluarga dan komuniti diadakan di pusat komuniti desa, padang awam dan taman rekreasi; dan
3. Memperkasakan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) melalui latihan dan penyediaan peralatan untuk kawalan keselamatan serta memperbanyakkan aktiviti kesukarelawan.

TUNJANG 6 – Kecekapan Infrastruktur

Strategi 1
Memperkukuh Kecekapan Infrastruktur

1. Menyegerakan pembinaan jalan baharu serta menaik taraf jalan dan jambatan sedia ada, termasuk pelebaran lebuh raya bagi meningkatkan akses di kawasan bandar dan luar bandar dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan;
2. Memastikan pembinaan jalan dan jambatan baharu dari Penchu, Tangkak ke Paya Ronggang, Muar dapat dilaksanakan mengikut perancangan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan;
3. Memudah cara pelaksanaan infrastruktur utama seperti Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas – Johor Bahru, Sistem Transit Rapid Johor Bahru – Singapura (RTS) dan Sistem Bas Rapid Transit (BRT) bagi memastikan projek dapat disiapkan berdasarkan perancangan projek dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan; dan
4. Meningkatkan kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam dengan penambahbaikan sistem dan prasarana yang bersepadu dan menyeluruh melalui kerjasama Kerajaan Persekutuan dan pihak swasta 5 Mempromosi serta mengoptimumkan potensi Lapangan Terbang Antarabangsa Senai sebagai hab pengangkutan kargo udara serantau.

Strategi 2
Memperluas Bekalan Elektrik dan Air Bersih

1. Meningkatkan akses bekalan elektrik dan air bersih yang cekap dan menyeluruh di bandar dan luar bandar, termasuk kawasan pedalaman dan kepulauan melalui kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.

Strategi 3
Meningkatkan Akses Liputan Perkhidmatan Telekomunikasi/Internet

1. Menyegerakan dan memudah cara pelaksanaan liputan Internet 5G di bandar besar dan kawasan strategik melalui kerjasama Kerajaan Persekutuan; dan
2. Mempercepatkan perluasan infrastruktur hotspot WiFi percuma di pusat tumpuan ramai, termasuk di pusat komuniti dan pusat kegiatan belia.

TUNJANG 7 – Kerancakan Sektor Pelancongan

Strategi 1
Memacu Industri Pelancongan Johor

1. Memanfaatkan keunikan alam semula jadi serta warisan sejarah Johor dalam mengoptimumkan penawaran produk pelancongan bernilai tinggi;
2. Merancakkan sektor agropelancongan melalui program ‘Johor Agro Visit’ yang menawarkan gabungan produk agropelancongan untuk tujuan farmstay dan latihan pertanian;
3. Menjadikan Johor sebagai pilihan utama destinasi aktiviti sukan dan rekreasi seperti sukan lasak dan berbasikal dengan menyediakan infrastruktur yang kondusif;
4. Mempergiatkan penganjuran acara dan festival bertaraf kebangsaan dan antarabangsa, termasuk sukan dan kebudayaan;
5. Memperbanyakkan kemudahan perkhidmatan Meetings, Incentives, Conferences & Exhibitions (MICE) yang dilengkapi dengan fasiliti bertaraf dunia;
6. Meningkatkan kualiti fasiliti dan kemudahan asas di destinasi tarikan pelancong, termasuk di pantai dan pulau; dan
7. Meningkatkan potensi industri pelancongan kesihatan dan kesejahteraan melalui pemasaran menyeluruh di peringkat antarabangsa.

TUNJANG 8 – Kelestarian Alam Sekitar

Strategi 1
Mengutamakan Kelestarian Alam Sekitar Dalam Pembangunan Negeri

1. Menyegerakan pelaksanaan projek tebatan banjir dan menyediakan pelan induk kesiapsiagaan Kerajaan Negeri dalam mendepani bencana alam;
2. Menaik taraf sistem saliran dan perparitan di kawasan berkepadatan tinggi bagi mengatasi masalah banjir kilat;
3. Menggalakkan penggunaan teknologi hijau dan cekap tenaga seperti pemasangan panel solar di bangunan Kerajaan Negeri dan pihak swasta;
4. Mempergiatkan aktivit pemuliharaan ekosistem marin bagi melestarikan kawasan perairan serta memperkaya hasil sumber laut, khususnya untuk nelayan pesisir pantai;
5. Meningkatkan kecekapan pengurusan pelupusan sisa pepejal melalui pendekatan mengubah sisa kepada tenaga serta memproses sisa pepejal organik menerusi pengkomposan berskala industri;
6. Meningkatkan kawalan dan pemantauan pengoperasian kilang perindustrian dan melaksanakan pemutihan kilang haram;
7. Menggalakkan pihak swasta menyediakan stesen pengecas kenderaan elektrik di lokasi bersesuaian melalui penyediaan insentif khas; dan
8. Menjadikan sungai-sungai di negeri Johor sebagai sungai terbersih di Malaysia melalui program Sungai Johor Lestari yang menekankan kerjasama masyarakat, agensi Kerajaan serta pihak swasta.

Sehubungan itu, PN juga menyatakan ikrar iaitu:

Kami Berikrar
Sekiranya Rakyat Johor Memilih Perikatan Nasional
Untuk Menerajui Dan Mengemudi Pentadbiran Kerajaan Negeri
Kami Akan Menjunjung Prinsip Raja Berperlembagaan
Dan Memperteguh Anggota Kepimpinan Pilihan Rakyat
Dengan Menawarkan Pentadbiran Yang Bertunjangkan
Integriti, Bebas Rasuah Dan Menolak Penyelewengan
Serta Mengutamakan Kepentingan Rakyat
Demi Kesejahteraan Bangsa Johor
Kami Merangka Satu Tawaran Yang Menyeluruh,
Menyentuh Setiap Ceruk Dan Seluruh Pelosok Johor
Bagi Memastikan Tiada Seorang Pun Dipinggirkan
Daripada Mengecapi Limpahan Manfaat
Pembangunan Ekonomi Pesat Di Negeri Johor
Barisan Kepimpinan Perikatan Nasional
Akan Sentiasa Menjadi Perisai Untuk Rakyat
Dan Menawarkan Penyelesaian Terbaik Untuk Kesejahteraan
Pemuda-Pemudi, Wanita, Warga Emas,
Orang Kurang Upaya, Kanak-Kanak Dan Seluruh Lapisan Masyarakat
Kami Akan Sentiasa Memperteguh
Kerjasama Erat Dengan Kerajaan Persekutuan
Bagi Memastikan Setiap Tawaran Dapat
Dilaksanakan Dengan Lancar, Teratur Serta
Tanpa Sebarang Salah Guna Kuasa Dan Rasuah
Bagi Memastikan Tawaran Ikrar Ini Dipenuhi,
Sebuah Jawatankuasa Khas Pemantau Pelaksanaan
Akan Ditubuhkan Dan Dianggotai Bangsa Johor
Daripada Golongan Profesional Dan Berpengalaman.

-Agenda Daily

0 ulasan:

Catat Ulasan