MALAYSIA telah pun mengesahkan jumlah kuota haji rasmi sebanyak 31,600 orang bagi musim 1446H/2025M dan sedang berusaha untuk memohon kuota tambahan sebanyak 10,000.
Jumlah kuota rasmi tersebut merupakan beberapa persetujuan yang terkandung dalam Memoradum Urusan Haji yang telah dimeterai baru-baru ini.
Memorandum tersebut telah ditandatangani Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfig Al-Rabiah.
Lembaga Tabung Haji dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Memorandum Urusan Haji itu dimeterai bagi memperkukuh lagi kerjasama strategik kedua-dua pihak terutama dalam pengurusan haji untuk musim 1446H/2025M.
Selain kuota haji, Lembaga Tabung Haji memberitahu, Malaysia juga menyatakan persetujuan untuk mematuhi garis panduan dari Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berkaitan ketibaan dan pergerakan pulang melalui Lapangan Terbang Madinah dan Jeddah.
Pada masa sama, Malaysia juga akan menyelesaikan kesemua kontrak bersama pelbagai pihak di Arab Saudi lebih awal bagi memudahkan pengurusan jemaah haji di Tanah Suci.
“Dalam kunjungan hormat Mohd Na’im bersama Tawfig itu juga, Malaysia telah memohon kuota haji tambahan sebanyak 10,000 dan ini akan dipertimbangkan dengan sewajarnya oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
“Pertemuan rasmi ini diadakan bersempena acara tahunan Simposium dan Pameran Haji 1446H anjuran Kerajaan Arab Saudi diadakan bermula 13 hingga 16 Januari bertempat di Superdome, Jeddah yang mana telah mengumpulkan pengendali operasi haji dan umrah dari serata negara dan turut menjadi platform perkongsian aspirasi pengurusan haji oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.
Sementara itu, Mohd Na’im berkata, memorandum tersebut menjadi bukti komitmen kerajaan melalui Lembaga Tabung Haji dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada para bakal jemaah haji khusus untuk musim kali ini.
“Alhamdulillah, dalam kunjungan rasmi saya ini kita telah dapat menjalinkan satu pemeteraian secara rasmi bagi mengukuhkan lagi hubungan akrab yang telah sekian lama terjalin antara Malaysia dan Arab Saudi.
“Ini merupakan salah satu usaha berterusan kerajaan dan Tabung Haji dalam menambahbaik pengurusan jemaah haji negara secara keseluruhan serta membuka peluang untuk peningkatan kualiti perkhidmatan Tabung Haji di Tanah Suci melalui kerjasama beberapa pihak di Arab Saudi,” katanya.
-utusantv.com
0 ulasan:
Catat Ulasan