Selasa, 28 Januari 2025

Anak Terengganu harum nama PASTI di peringkat dunia

 

Pengarah PASTI Terengganu, Syamri Abdul Razak (kiri), Fadhli Rahmi, ayah, ibu Amatullah dan adiknya pada Majlis Anugerah Prestasi PASTI Negeri Terengganu

KUALA LUMPUR: Ibarat peribahasa ‘kecil-kecil cili padi’, kanak-kanak berusia tujuh tahun, Amatullah Hamidah Muhammad Luqman Al Hakim berjaya memenangi tempat pertama dalam pertandingan 63rd GASCA International English Recitation Competition.

Kejayaan itu bukan hanya mengharumkan nama Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di Chendering, Terengganu, malah juga di peringkat dunia.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut mengucapkan tahniah atas kejayaan anak Terengganu itu menerusi catatan di Facebook beliau.

Menurut beliau, kejayaan itu bukan hanya membanggakan keluarga, tetapi menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Terengganu dan PASTI di seluruh Malaysia.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada anakanda Amatullah Hamidah binti Muhammad Luqman atas kejayaan gemilang memenangi tempat pertama dalam 63rd GASCA International English Recitation Competition.

“Kemampuan anakanda Amatullah untuk bersaing di peringkat antarabangsa menunjukkan bakat dan potensi anak-anak Terengganu yang luar biasa.

“Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin kepada lebih ramai anak-anak untuk terus berusaha cemerlang dalam apa jua bidang yang diceburi.

“Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa komited menyokong generasi muda yang berani mencabar diri menonjolkan bakat masing-masing serta membanggakan negeri,” katanya.

Pertandingan Pidato Bahasa Inggeris Kanak-kanak dan Belia Antarabangsa Kali Ke-63 itu anjuran Persatuan Seni, Sukan dan Budaya Global (GASCA) yang berpusat di Hong Kong.

Ia adalah pertandingan pidato dalam talian yang menghimpunkan peserta cilik dan belia dari seluruh dunia. – HARAKAHDAILY 27/1/2025

0 ulasan:

Catat Ulasan