Isnin, 13 Januari 2025

Syirik asghar lebih ditakuti Rasulullah

 BERDOALAH semoga segala ibadah kita dilakukan dengan tulus ikhlas dan dijauhkan daripada iktikad yang membawa syirik.

BERDOALAH semoga segala ibadah kita dilakukan dengan tulus ikhlas dan dijauhkan daripada iktikad yang membawa syirik.

Syirik (politeisme) ialah perbuatan menyekutukan atau menduakan Allah SWT. Ia terbahagi kepada dua. Pertama, syirik akbar (besar) iaitu beriktikad bahawa ada tuhan atau kuasa yang lain selain daripada Allah SWT yang layak disembah dan diminta pertolongan. Kedua, syirik asghar (kecil) atau disebut juga syirik khafi (tersembunyi), iaitu melakukan sesuatu amalan bukan sepenuh ikhlas kerana Allah, tetapi kerana sesuatu yang lain. Kedua-dua jenis syirik ini adalah termasuk dosa besar.    

Namun, syirik akbar menjadikan seseorang itu kafir dan terkeluar daripada Islam. Ia merupakan dosa yang menyebabkan pelakunya kekal di dalam neraka kerana ia satu-satunya dosa yang tidak akan diampuni oleh Allah SWT. 

Firman-Nya: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar." (Surah an-Nisa': 48) 

Manakala syirik asghar turut menyebabkan pelakunya dihumban ke neraka, namun ia tidak menjadikan seseorang itu kafir dan terkeluar daripada Islam. Syirik asghar ialah sifat riyak, sama ada dilakukan secara sedar atau pun tidak. 

Syirik ini lebih ditakuti oleh Nabi SAW sebagaimana sabdanya: "Sesungguhnya perkara yang paling aku takutkan terhadap kamu sekalian adalah syirik asghar." Mereka bertanya: "Apa itu syirik asghar, wahai Rasulullah?" Baginda menjawab: "Riyak. Allah SWT berfirman (pada hari kiamat) ketika Dia memberi balasan kepada manusia atas segala amalan mereka: "Pergilah kamu kepada orang-orang yang dulu kamu perlihatkan diri kamu di dunia. Lalu lihatlah, adakah kamu menemukan sebarang ganjaran di sisi mereka?(Riwayat Ahmad dengan sanad hasan)     

Dari segi akidah, syirik boleh berlaku sama ada secara nyata atau tidak nyata. Misalnya syirik secara nyata ialah apabila seseorang itu meletakkan sifat ketuhanan pada berhala dan menyembahnya, sepertimana perbuatan kaum kafir musyrik yang disebut dalam firman Allah SWT: "Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain daripada Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): "Kami tidak menyembah atau memuja mereka melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya.(Surah az-Zumar: 3)

Manakala misal syirik yang tidak secara nyata ialah apabila seseorang beriktikad dan bergantung harap kepada tangkal atau sesuatu benda bagi mencapai sesuatu hajat. 

Iktikad ini adalah sesat, sama sebagaimana fahaman Qadariyyah yang mempercayai wujud kuasa atau kudrat berasingan pada makhluk.

 Menurut mereka, makhluk boleh memberi kesan (ta'thir) manfaat atau mudarat tanpa ada campur tangan daripada Allah SWT. Iktikad ini dihukum bidaah yang sesat. Namun, ulama Ahlus Sunnah Waljamaah (ASWJ) Asya'irah dan Maturidiyyah tidak menghukumkan Qadariyyah kafir dan terkeluar daripada Islam. 

Umat Islam yang tidak berpegang dengan akidah ASWJ Asya'irah dan Maturidiyyah dikhuatiri iktikad mereka tidak terlepas daripada syirik ini.

 Adapun golongan ASWJ Asya'irah dan Maturidiyyah, mereka meyakini tiada makhluk atau benda, baik yang masih hidup atau pun sudah mati mampu memberi apa-apa kesan manfaat atau mudarat. 

Sebaliknya, yang mampu memberi kesan manfaat dan mudarat hanyalah Allah SWT sahaja. Manakala kuasa atau kudrat yang ada pada makhluk tidak berasingan dan tidak dapat memberi apa-apa kesan melainkan Allah SWT yang menciptakan kesan tersebut di sisinya dan bukan menciptakan kesan itu melaluinya. 

Atas iktikad ini, majoriti ulama ASWJ mengharuskan tawassul dan istighathah dengan para anbia dan para aulia. Selama iktikad ini dipegang, ia tidak termasuk dalam jenis syirik tersebut. Manakala para anbia dan aulia itu hanya asbab atau perantara sahaja sebagai usaha dan ikhtiar kerana kedudukan mereka yang istimewa di sisi Allah SWT tanpa meyakini mereka itu boleh memberi apa-apa kesan tanpa izin daripada-Nya.  

Menariknya, kerana majoriti umat Islam berpegang dengan akidah ASWJ Asya'irah dan Maturidiyyah, maka terdapat hadis yang menunjukkan Nabi SAW tidak khuatir umatnya akan melakukan perbuatan syirik. 

Daripada 'Uqbah bin 'Amir RA bahawa Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya aku telah diberikan kunci-kunci khazanah bumi. Sesungguhnya, demi Allah, aku tidak takut terhadap kamu sekalian akan berbuat syirik selepas peninggalanku. Tetapi, yang aku khuatirkan terhadap kamu sekalian ialah kamu akan berlumba-lumba merebutnya (dunia).(Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Ironinya, golongan Wahhabi yang tidak faham mengenai akidah ASWJ Asya'irah dan Maturidiyyah berhujah kepada mereka dengan ayat al-Quran yang ditujukan kepada golongan kafir musyrik. Na'uzubillah.

-myMetro 

0 ulasan:

Catat Ulasan