Titah Adendum Najib tetap sah tanpa perkenan Agong ke-17 - Mohamed Haniff Khatri
Surat Titah Adendum yang dihantar Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh bertarikh 29 Januari 2024, sah dan wajib dilaksanakan serta-merta, walaupun tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, ini kerana dari segi perundangan, proses pengampunan yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 telah selesai apabila Titah Adendum diterima Peguam Negara.
Katanya, ini kerana mengikut Perkara 42 Fasal 4(a), Perlembagaan Persekutuan, proses pengampunan banduan di Wilayah Persekutuan yang dikendalikan oleh Agong tidak tertakluk dengan mana-mana nasihat atau mesyuarat yang dikendalikan Lembaga Pengampunan atau Peguam Negara.
"Masalah berkenaan berbeza jika dibandingkan dengan peruntukan di bawah Perkara 42 Fasal 4(b) Perlembagaan Persekutuan berkaitan kuasa pengampunan banduan di negeri diterajui oleh Raja dan Sultan.
"Perkara 42 Fasal 4(b) secara khusus menjelaskan berkenaan Sultan atau Raja mestilah membuat keputusan pengampunan dengan mengambil kira nasihat Lembaga Pengampunan," katanya dalam satu hantaran video pada Sabtu.
Terdahulu, Anwar mengakui Peguam Negara memang ada menerima surat Titah Adendum berkenaan namun tidak dapat melaksanakan kerana pertukaran Yang di-Pertuan Agong daripada Al-Sultan Abdullah kepada Sultan Ibrahim pada 31 Januari 2024.
Sehubungan itu, Mohamed Haniff Khatri mempersoalkan tujuan sebenarnya Peguam Negara ketika itu menyerahkan Titah Adendum Agong ke-16 kepada Agong ke-17 untuk dipertimbangkan semula.
"Apabila Peguam Negara menerima titah untuk dilaksanakan, maka ia wajib dilaksanakan dengan serta-merta iaitu pada 29 Januari 2024. Ini kerana tiada keperluan perundangan mahupun Perlembagaan Persekutuan untuk Peguam Negara menunggu sehingga Sultan Johor, Sultan Ibrahim mengangkat sumpah jawatan dan memulakan tempoh perkhidmatan selaku Yang di-Pertuan Agong ke-17.
"Oleh itu, apa yang saya lihat sekarang dengan pengakuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa memang benar Peguam Negara telah menerima surat titah pada 29 Januari 2024 daripada Agong ke-16, maka kegagalan Kerajaan Madani melaksanakannya sehingga kini adalah satu kesalahan besar (penderhakaan)," katanya.
Berikutan itu, beliau turut mempersoalkan tindakan Pejabat Peguam Negara dan Kerajaan Madani berdiam diri untuk sekian lama mengenai kewujudan Titah Adendum tersebut.
Sedangkan katanya, sebelum Najib mengemukakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, terdapat surat-surat dikemukakan oleh pasukan peguamnya kepada pelbagai pihak bertanyakan perkara berkenaan seawal pada 1 April 2024.
"Mengapa Peguam Negara dan Kerajaan Madani tidak mengakui bahawa Titah Adendum sebenarnya memang wujud semasa semakan kehakiman difailkan pertama kali dan dalam perbicaraan di peringkat Mahkamah Tinggi?
"Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sudah membuat keputusan menolak permohonan Najib kerana tiada keterangan terus mengenai Titah Adendum tetapi hanya keterangan 'dengar cakap' atau 'hearsay'. Namun, Pejabat Peguam Negara dan Kerajaan Madani masih mendiamkan diri dan adakah itu adil?" soalnya.
0 ulasan:
Catat Ulasan