PMX lakukan upacara “titik mata” pada tarian singa?
Oleh:Firdaus Wong Wai Hung
Seorang individu menghantar satu video klip kepada saya menunjukkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim telah hadir ke Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur anjuran Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan China.
Di akhir program itu, PMX dan Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi dijemput untuk menyempurnakan upacara “eye-dotting” kepada dua kostum tarian singa, di mana mereka meletakkan dakwat pada bahagian mata kostum singa itu.
Sebenarnya apa itu upacara 开光 (kāi guāng - buka cahaya) pada tarian singa dan apakah signifikannya?
Upacara “eye-dotting” atau “titik mata” ini sebenarnya merupakan satu proses memasukkan roh ke dalam kostum singa itu sebelum singa itu membuat persembahan.
Upacara ini juga dinamakan sebagai 点睛 (diǎn jīng - Titik mata) atau 开光 (kāi guāng - buka cahaya) dalam bahasa Mandarin.
Menurut Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), tujuan titik mata singa adalah untuk membawa tuah dan mengelakkan bala menimpa persembahan tarian singa yang diadakan sempena acara perasmian, perayaan dan sebagainya.
“Adat Menitik Mata Singa merupakan satu adat-istiadat untuk membangkitkan semangat singa, membawa ong yang baik, memanggil kemewahan, kesihatan, keharmonian dan kebahagian serta menghalau kejahatan,” tulis JKKN dalam artikel di laman rasminya.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin juga berkata upacara menitik mata singa adalah ritual penting dalam budaya tarian singa, yang dipercayai “membangunkan” singa yang baharu untuk persembahan dengan selamat.
“Dalam budaya tarian singa, apabila singa itu baharu, ia memerlukan satu upacara iaitu upacara mencelikkan mata. Singa tersebut dikatakan sedang ‘tidur,’ dan kita perlu ‘membangunkannya’ dengan mencelikkan matanya. Selepas ritual ini, baharulah singa itu boleh membuat persembahan,” katanya kepada TV Sarawak pada 19 Januari lalu.
Menurut pakar tarian singa 郑铭辉 Zhèng Míng Huī yang berpengalaman lebih 30 tahun, upacara titik mata ini bermakna singa itu telah dikurniakan tenaga langit dan bumi, dapat menangkis aura jahat dan membawa tuah.
“Generasi yang lebih tua percaya bahawa singa yang belum melalui upacara kāi guāng adalah seperti singa tanpa aura rohani. Dulu, singa begini dikenali sebagai ‘singa buta’, bermakna ia tidak mempunyai aura rohani dan tidak diberkati oleh dewa,” katanya dalam sebuah artikel terbitan See Hua Online pada 19 Januari 2017.
Pengurus Persatuan Tarian Naga & Singa Khuan Loke, Eric Fong pula berkata upacara titik mata adalah langkah terakhir sebelum ‘menghidupkan singa. Dakwat merah akan dilukis dari bahagian kepala singa itu dan sepanjang tulang belakangnya hingga ke ekornya yang bertujuan memperkasakannya untuk memenuhi tugasannya bagi membawa tuah, kesihatan, kemakmuran dan perlindungan.
Tarian singa ini mungkin dilihat sebagai satu tarian tradisional masyarakat Cina tetapi asal usul tarian singa ini masih mempunyai elemen khurafat yang diamalkan sehingga ke hari ini.
Saya percaya bahawa tidak mungkin PMX sebagai seorang Muslim akan redha dan sanggup melakukan upacara yang jelas mempunyai unsur khurafat sebagaimana yang dilaporkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).
Barangkali beliau tidak diberikan info yang tepat tentang upacara ‘eye-dotting’ itu. Wallahualam.
Rujukan kepada semua kenyataan ada di link dibawah.
https://www.youtube.com/watch?v=6fp6QS9bvpc&t=5118s
https://www.tvsarawak.my/2025/01/19/upacara-menitik-mata-singa-simbol-tradisi-perpaduan/
0 ulasan:
Catat Ulasan