Selasa, 9 Januari 2024

SANGGAH RASUAH POLITIK DEMI PERTAHAN ISLAM DAN NEGARA

 SANGGAH RASUAH POLITIK DEMI PERTAHAN ISLAM DAN NEGARA

Firman Allah SWT;

“Dan janganlah sebahagian daripada kalian memakan (atau mengambil) harta (sebahagian orang lain) antara kalian dengan jalan yang batil (salah dan haram), dan janganlah pula kalian menghulurkan harta kalian (memberi rasuah) kepada pihak yang mengendalikan hukuman (pemerintah yang berkuasa dan para hakim), supaya kalian dapat memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kalian mengetahui (akan salahnya perbuatan itu).” 

(Surah Al-Baqarah: 188)

Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) ingin menegaskan bahawa politik wang tidak pernah menjadi sebahagian daripada amalan politik PAS sejak keberadaan parti ini dalam pentas siasah negara. Malah PAS sentiasa bertegas dalam menyanggah serta membanteras apa juga bentuk rasuah politik demi mempertahan Islam dan negara tercinta.

Tidak wajar sama sekali ada pihak menyamakan PAS dengan parti mereka sendiri yang menggunakan harta dan kedudukan sebagai habuan utama dalam berpolitik.

Ironi sekali apabila ada pihak yang membuat dakwaan palsu bahawa PAS dan Perikatan Nasional (PN) sedang berusaha membeli wakil rakyat ketika ini dengan kemewahan harta dan pangkat.

Bagaimana mungkin sebuah parti miskin boleh menggunakan duit sebagai sogokan untuk mendapatkan sokongan? 

Sebaliknya merekalah yang telah menjadikan amalan tersebut untuk mendapatkan sokongan wakil rakyat. Segelintir daripada wakil rakyat daripada pembangkang menerima tawaran mencecah jutaan ringgit sebagai balasan sokongan kepada mereka. 

Bukankah itu adalah amalan politik rasuah yang sudah berakar dalam kalangan parti dan kepimpinan mereka? 

DUPP ingin mengingatkan Kerajaan bahawa sepatutnya mereka melihat dan menilai kepada parti mereka sendiri dalam menanggapi perkembangan politik yang berlaku akhir-akhir ini.

Satu demi satu kegagalan yang ditampilkan dalam pentadbiran hari ini menyebabkan rakyat semakin menjauhi mereka. 

Usah menjadi mata lalat yang hanya tahu menyalahkan orang lain sedangkan rumah mereka sendiri hanya menanti masa untuk rebah gugur menyembah bumi.

Sekian.

Dato' Ahmad bin Yahaya,

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.


9 Januari 2024


#AdilPrihatinBerkebajikan

0 ulasan:

Catat Ulasan