Sabtu, 6 Januari 2024

Beri elaun khas dahulu kalau sukar naikkan gaji penjawat awam-Cuepacs

 

Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyarankan kerajaan mempertimbangkan kenaikan gaji dalam bentuk elaun khas sementara menunggu pelarasan gaji melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Presidennya, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, perkara itu boleh dipertimbangkan kerajaan sekiranya isu kewangan menjadi kekangan dalam menyegerakan SSPA.

“Selepas SSPA dimuktamadkan kelak dan berlakunya kenaikkan gaji, maka kerajaan boleh memansuhkan bayaran elaun khas tersebut.

“Usaha ini sedikit sebanyak membantu meningkatkan gaji bersih (take home pay) penjawat awam meningkat sementara menunggu pelarasan gaji dilaksanakan.

“Adalah menjadi harapan warga penjawat awam untuk menikmati skim upah yang lebih adil dan munasabah supaya mereka mampu berhadapan dengan situasi yang sukar ketika ini,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Adnan memberitahu pihaknya turut menghargai kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan kepada penjawat awam dalam membangunkan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancarkan semalam.

Jelasnya, usaha yang digembleng oleh kakitangan daripada Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia jelas membuktikan kemampuan penjawat awam dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

Katanya, walaupun masa yang diberikan oleh kerajaan adalah amat singkat, kekangan tersebut bukanlah menjadi halangan untuk penjawat awam memberikan hasil terbaik setanding dengan perunding antarabangsa.

“Syabas diucapkan kepada penjawat awam kerana mampu menghasilkan sistem yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Cuepacs mencadangkan agar suatu bentuk insentif khas kepada penjawat awam yang terlibat dalam membangunkan projek-projek besar kerajaan pada masa hadapan sebagai satu bentuk pengiktirafan dan galakan untuk mereka berusaha dengan lebih baik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

0 ulasan:

Catat Ulasan