Isnin, 27 Disember 2021

Baik pulih rumah sejarah:Waris Datuk Maharajalela puas hati

 

KEADAAN rumah Datuk Maharajalela di Pasir Salak yang dalam proses baik pulih. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN

PASIR SALAK: Waris kepada Datuk Maharajalela berpuas hati dengan kerja baik pulih yang dijalankan di rumah tokoh pejuang negara itu dalam kawasan Kompleks Sejarah Pasir Salak di sini setelah sebelum ini daif akibat terbiar.

Tengku Mustaffa Tengku Mohd. Yunus, 61, berkata, beliau gembira kerana kerajaan menunaikan janji untuk membaik pulih rumah itu setelah lama tidak dijaga menyebabkan berlaku kerosakan pada bangunan rumah berusia lebih 100 tahun itu.

Menurutnya, setakat ini kerja baik pulih sudah mencapai 45 peratus, melibatkan baik pulih bahagian atap manakala bahagian dinding akan dipasang de­ngan dinding baharu.

“Saya berpuas hati dengan kerja baik pulih rumah ini yang telah dijalankan walaupun agak perlahan disebabkan Covid-19. Malah kawasan ini juga sudah ditempatkan pengawal keselamatan untuk menjaga dan memantau keadaan sekitarnya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Beliau yang juga Orang Besar Jajahan (OBJ) Pasir Salak berkata, proses baik pulih masih mengekalkan binaan asal.

Katanya, ini jelas kelihatan menerusi ukiran kayu yang dipasang yang menyerlahkan bentuk asal rumah tokoh pejuang negara itu.

“Dalam perancangan awal, memang rumah ini akan dibina semula mengikut bentuk asal dan sekarang sedikit demi sedikit saya dapat melihat rumah ini sudah hampir kembali terdiri seperti sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, kerja-kerja baik pulih rumah itu turut menggembirakan penduduk setempat yang tidak sabar untuk melihat rumah itu kembali dijaga de­ngan baik kerana ia mempunyai nilai sejarah yang tinggi.

“Penduduk gembira melihat usaha kerajaan membaik pulih rumah ini, mereka bertanya bila akan siap. Saya percaya apabila siap nanti, lebih ramai pelancong akan datang semula ke sini untuk melihat rumah tokoh pejuang negara ini selain wa­risan sejarah lain yang terdapat dalam Kompleks Sejarah Pasir Salak,” katanya.

-Utusanonline

0 ulasan:

Catat Ulasan