Rabu, 1 Disember 2021

Varian Omicron: Kerajaan sekat sementara pekerja, pelajar masuk dari negara risiko tinggi

 

Khairy Jamaluddin berkata, penerbangan terus atau transit dari Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan Malawi dilarang memasuki Malaysia.

PETALING JAYA: Kerajaan akan menangguhkan sementara kemasukan pelajar antarabangsa dan pekerja asing dari negara yang disenaraikan berisiko tinggi menyebabkan jangkitan varian membimbangkan (VOC) Omicron.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, penerbangan terus atau transit dari Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan terbaru – Malawi dilarang memasuki Malaysia.

Difahamkan, 20 negara melaporkan pengesanan VOC Omicron setakat ini, dengan 203 daripada 215 kes itu dilaporkan dalam laman web Global Initiative on Sharing All Influenza Data (GISAID).

“Varian ini disyaki telah berkembang semasa jangkitan kronik dalam individu yang mempunyai sistem imun rendah, dan menular pada kadar lebih pantas daripada varian lain. Ini menunjukkan kemungkinan besar ianya lebih mudah merebak.

“Bukti awal menunjukkan varian ini juga berkemungkinan menyebabkan risiko lebih tinggi untuk jangkitan semula berbanding VOC lain,” katanya dalam sidang media hari ini.

Khairy berkata, langkah lain yang diambil Kementerian Kesihatan termasuk memantau dan mengemas kini senarai negara yang melaporkan kes varian Omicron untuk diedarkan kepada kementerian berkaitan melalui Majlis Keselamatan Negara.

Katanya, kawalan di pintu masuk antarabangsa turut dipertingkatkan dengan menghentikan segera penggunaan sistem “autogate” Jabatan Imigresen buat sementara.

Beliau berkata, rancangan mewujudkan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dengan negara yang disenaraikan turut ditangguhkan.

Katanya, pengembara yang menyertai VTL udara antara Malaysia dan Singapura digalakkan menjalani ujian kendiri Covid-19 pada hari ketiga dan ketujuh selepas ketibaan.

Beliau menasihatkan warga emas dan individu mempunyai komorbiditi tidak melakukan perjalanan ke luar negara serta mengelakkan ke kawasan sesak.

“Saya ingin mengingatkan seluruh Keluarga Malaysia bahawa kita belum menang dalam peperangan melawan Covid-19.”-FMT

0 ulasan:

Catat Ulasan