Rabu, 29 Disember 2021

Long Tiger cuba lolos ke Thailand, Indonesia bersama pondan

Polis menahan Abdul Hamim Ab. Hamid atau Long Tiger selepas meloloskan diri baru-baru ini.

Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid, 32, lelaki keturunan Rohingya, yang ditangkap di sebuah rumah di Sungai Petani semalam, dipercayai cuba untuk meloloskan diri ke Thailand atau Indonesia.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata siasatan awal polis mendapati ‘Long Tiger’ berkenalan dengan seorang lelaki di Sungai Petani melalui Facebook sejak tahun lalu.

“Hasil siasatan mendapati Long Tiger berkenalan dengan lelaki yang membantunya bersembunyi di Sungai Petani melalui Facebook sejak tahun lalu.

“Polis percaya Long Tiger yang melarikan diri ke Kedah dalam perjalanan keluar dari negara ini, sama ada ke Thailand dan Indonesia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Bagaimanapun, rancangan itu gagal apabila sepasukan polis menyerbu sebuah rumah di Sungai Petani dan menahannya bersama seorang pondan, kira-kira jam 3.15 petang semalam.

Dalam cubaan mengelak daripada ditangkap, ‘Long Tiger’ dilaporkan memanjat bumbung rumah itu, tetapi tergelincir dan jatuh.

Menurut Ayob Khan, siasatan polis juga membawa kepada penahanan dua lagi suspek berusia 36 dan 38 tahun kerana dipercayai bersekongkol dengan suspek pada jam 7.25 malam hingga 3 pagi tadi di Batu Pahat.

“Kedua-dua lelaki itu dipercayai membantu suspek dengan memotong gari tangannya selain membeli kad sim sebelum melarikan diri ke Kedah,” katanya.

Terdahulu, keempat-empat mereka ditahan direman selama empat hari bermula hari ini hingga 1 Januari.

Perintah reman terhadap Long Tiger dikeluarkan Majistret Analia Kamaruddin mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan, manakala tiga lagi individu terbabit disiasat di bawah Seksyen 216 kanun sama.

Long Tiger sebelum ini meloloskan diri melalui pintu utama Mahkamah Majistret Tangkak sebelum perbicaraan bermula pada 15 Disember lalu, kira-kira jam 11.55 pagi.

Sejak kehilangannya, Long Tiger menjadi buruan polis selain peguam mewakilinya, Datuk Sharudin Ali turut menarik diri daripada mewakilinya.

Dua anggota polis turut digantung tugas bagi membantu siasatan berhubung insiden berkenaan kerana disyaki terbabit secara langsung atas kesalahan cuai sehingga menyebabkan tahan itu melarikan diri.

-Agenda Daily

0 ulasan:

Catat Ulasan