Khamis, 30 Disember 2021

Scammer: Polis dedah khidmat pembersihan palsu, kerugian lebih RM77,888

 - Foto hiasan

- Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman mengesan wujud modus operandi penipuan konsep baharu yang menawarkan perkhidmatan pembersihan palsu kepada orang ramai.

Setakat ini, 10 laporan polis diterima berkaitan kes berkenaan membabitkan kerugian lebih RM77,888.40.

Berdasarkan siasatan, sindiket menggunakan beberapa nama syarikat berbeza itu akan mengiklankan perkhidmatan pembersihan rumah, pejabat dan seumpamanya melalui laman sosial.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Kamarudin Md Din, berkata mangsa yang berminat kemudian akan diminta berhubung dengan mereka melalui aplikasi WhatsApp.

"Selepas bersetuju dengan harga ditetapkan, mangsa diminta membuat pembayaran melalui pautan dihantar pihak sindiket.

 Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Kamarudin Md Din
Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Kamarudin Md Din

"Pautan itu akan membawa mangsa ke laman web yang kelihatan sama dengan laman web perbankan secara dalam talian yang biasa digunakan mangsa sebelum itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kamarudin berkata, mangsa kemudian cuba membuat pembayaran melalui laman web itu namun gagal dan hanya menyedari ditipu apabila mendapati wang daripada akaun bank sudah berkurangan.

"Siasatan mendapati laman web palsu yang diakses mangsa akan menyimpan semua data perbankan dimasukkan dan data itu akan digunakan sindiket untuk mengakses akaun mangsa serta membuat pemindahan wang tanpa pengetahuan mangsa.

"Siasatan kes itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara antara satu hingga 10 tahun dan sebat serta denda," katanya.

Kamarudin berkata, polis menggesa orang ramai yang menjadi mangsa untuk segera tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

"Sebarang nasihat mahupun pertanyaan berkaitan jenayah komersial, boleh berhubung dengan polis melalui CCID SCAM Responce Center di talian 03-26101559/1599," katanya.-BH Online

0 ulasan:

Catat Ulasan