Jumaat, 31 Disember 2021

Covid 19: Russia catat kes kematian kedua tertinggi di dunia selepas AS

 

Pihak berkuasa Russia mengarahkan semua hospital bersiap sedia menghadapi kemungkinan lonjakan kes Covid-19. - Gambar AFP

Russia mengatasi Brazil di tempat kedua dengan jumlah kematian tertinggi di dunia akibat pandemik Covid-19, di belakang Amerika Syarikat (AS), menurut data negara itu serta kiraan Reuters pada Khamis.

Perkhidmatan statistik, Rosstat, berkata 87,527 pesakit meninggal dunia yang berpunca daripada Covid-19 pada November, menjadikannya bulan paling maut di Russia sejak permulaan wabak pada 2020.

Keseluruhannya, jumlah kematian akibat pandemik itu di Russia mencecah 658,634, menurut kiraan Reuters berdasarkan angka dikeluarkan Rosstat sehingga akhir November dan data daripada pasukan petugas Covid-19 untuk Disember, mengatasi Brazil yang mencatatkan 618,800 kematian.

Jumlah kematian di AS lebih tinggi, iaitu 825,663 pesakit, menurut pengiraan Reuters, tetapi populasinya dua kali ganda lebih besar daripada Russia.

Pengiraan Reuters juga menunjukkan Russia mencatatkan 835,000 lebihan kematian sejak awal wabak pada April 2020 hingga akhir November, berbanding purata kematian pada 2015-2019.

Sesetengah ahli epidemiologi mengatakan bahawa mengira lebihan kematian adalah cara terbaik untuk menilai kesan sebenar wabak.

Setakat ini, jumlah kematian si Russia tidak terjejas oleh varian Omicron dan kebanyakannya disebabkan oleh lonjakan jangkitan pada Oktober dan November, di mana pihak berkuasa kesihatan menyalahkan varian Delta dan kempen vaksinasi yang perlahan.

Pada Khamis, pihak berkuasa Russia mengarahkan semua hospital bersiap sedia menghadapi kemungkinan lonjakan kes Covid-19. – Reuters

0 ulasan:

Catat Ulasan