Jumaat, 19 November 2021

Myvi Baharu ditawarkan pada harga bermula RM45,700

 Bahagian sisi Myvi Baharu.

Bahagian sisi Myvi Baharu.

Kuala Lumpur: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) malam tadi melancarkan Myvi Baharu dan berjaya mengumpulkan 4,303 tempahan dalam tempoh sembilan hari dengan penghantaran serta-merta esok.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, Myvi Baharu yang menelan belanja RM50 juta untuk dibangunkan itu mempunyai teknologi canggih, ciri keselamatan pintar yang dipertingkatkan, penjimatan bahan api yang lebih baik, penampilan baharu yang 'sporty' serta warna baharu.

"Kami berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia terutama kepada pelanggan kami atas sokongan yang diberikan kepada Perodua dan Myvi Baharu.

"Myvi sudah menarik perhatian rakyat Malaysia dan diterima secara meluas masyarakat. Tawaran baharu ini adalah untuk memastikan pelanggan kami yang dihargai memperolehi nilai yang terbaik," katanya.

Beliau berkata Perodua menjangkakan untuk mendaftar 6,000 unit setiap bulan, yang mana ini membolehkan syarikat kereta kompak itu mengekalkan kecenderungan jualan Myvi pada masa akan datang.

Varian Myvi Baharu termasuk 1.5 liter AV (Advance), varian 1.5 liter H, varian 1.5 liter X , 1.3 liter G dan 1.3L G (Basic).

Harga Myvi Baharu dari RM45,700 hingga RM58,800 bagi Semenanjung Malaysia, tanpa

insuran dan tidak termasuk Cukai Jualan.

Pelancaran varian baharu ini adalah dalam tempoh minggu yang sama dengan pelancaran Myvi generasi ketiga iaitu pada 16 November 2017.

Bahagian ruang meletak barang Myvi Baharu.
Bahagian ruang meletak barang Myvi Baharu.

Myvi yang mula diperkenalkan pada Mei 2005 sudah menjual kira-kira 1.3 juta unit setakat ini dan daripada jumlah itu, Myvi generasi ketiga terjual sebanyak 277,329 unit.

Perubahan ketara pada Myvi termasuk penambahbaikan dalam sistem keselamatannya, menampilkan sistem Perodua Smart Drive Assist (PSDA), yang direka dengan mengambilkira keselamatan pemandu dan pejalan kaki.

PSDA termasuk Advance Safety Assist versi 3.0, Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Keep Assist (LKS), Blind Spot Monitoring System (BSM) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA) (Tersedia dalam semua varian kecuali varian 1.3L G yang terendah)

Ini bermakna semua varian Myvi Baharu kini mempunyai teknologi Autonomi Tahap 2 kecuali satu daripada varian G.

Zainal berkata, ini adalah pertama kali dalam sejarah Malaysia, syarikat kereta menawarkan

teknologi Autonomi Tahap 2 kepada model di bawah tanda harga RM60,000.

Katanya, semua varian di bawah Myvi Baharu akan menampilkan transmisi baharu iaitu Dwi-mod CVT (Continuous Variable Transmission), menggantikan transmisi empat kelajuan.

"Dwi-mod CVT ini akan meningkatkan lagi kecekapan transmisi, ringan dan bersaiz kompak, memberikan lebih kuasa pecutan dan lancar pada kelajuan rendah serta menjadikan kenderaan lebih senyap selain meningkatkan kecekapan bahan api.

"Dengan penambahbaikan ini, Myvi Baharu mampu mencatatkan peningkatan sebanyak 5 peratus atau tambahan 1 kilometer (km) bagi setiap liter bahan api serta 20 peratus pecutan yang ditambahbaik.

"Peningkatan kecekapan bahan api Myvi Baharu adalah komitmen kami ke arah mengurangkan impak kepada alam sekitar dan usaha kami ke arah matlamat untuk menjadi sebuah organisasi karbon neutral," katanya.

Bahagian papan pemuka Myvi Baharu.
Bahagian papan pemuka Myvi Baharu.

Beliau berkata, Myvi Baharu juga menampilkan warna baharu iaitu Cranberry Red, yang hanyatersedia untuk varian AV. Warna lain termasuk Ivory White, Glittering Silver, Lava Red (tidak tersedia untuk AV), Granite Grey dan Electric Blue.

Sementara itu, Perodua juga turut memperkenalkan satu lagi perkhidmatan langganan kenderaan merangkumi semua nilai tambah yang dipanggil Perodua EZ MOBi yang mana perkhidmatan ini akan membantu syarikat-syarikat menguruskan fleet kenderaan mereka dari perolehan, servis dan penggantian fleet.

"Pada dasarnya, EZ MOBi ini mewakili sumbangan nilai Perodua terhadap keperluan mobiliti pelanggannya yang semakin meningkat.

"Pakej keseluruhan termasuk pendaftaran kenderaan, pembaharuan insuran, kos servis, kos penggantian alat ganti, kereta ihsan, pelupusan kenderaan dan penggantian di bawah satu pelan langganan," katanya.

Beliau berkata, Perodua EZ MOBi menyediakan kemudahan berbentuk hujung ke hujung (end-to-end) kepada pelanggan kerana pelbagai pakej tersedia untuk memenuhi keperluan mobiliti setiap daripada pelanggan.

Satu daripada keunikan Perodua EZ MOBi, katanya, ialah pelan langganannya memfaktorkan

semua kos untuk milikan dan pengendalian kenderaan kecuali penggunaan bahan api.

Buat masa ini, perkhidmatan baharu ini tersedia di Lembah Klang dan hanya untuk entiti perniagaan dan agensi kerajaan.


Senarai harga penuh Myvi Baharu

Myvi Baharu Harga

1.3G Basic RM45,700

1.3G PSDA RM47,700

1.5 X RM49,900

1.5 H RM53,900

1.5 AV RM58,800

-myMetro

0 ulasan:

Catat Ulasan