Isnin, 29 November 2021

Daerah Kota Setar diisytihar kawasan wabak JE

 

Pengarah Kesihatan Kedah Dr Othman Warijo berkata, dua kes jangkitan Japanese Encephalitis (JE) bulan ini menyebabkan kedua-dua mangsa meninggal dunia. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Wabak Japanese Encephalitis (JE) diisytihar di daerah Kota Setar selepas dua kes jangkitan penyakit itu dikesan bulan ini, kata Pengarah Kesihatan Kedah Dr Othman Warijo.

Beliau berkata, kes pertama dilaporkan berlaku pada 18 Nov, disusuli kes kedua pada 25 Nov, dengan kedua-dua mangsa meninggal dunia.

“Sehingga Khamis lalu, jumlah kumulatif kes JE yang dilaporkan di Kedah pada tahun ini adalah 10 kes, berbanding 8 kes pada tempoh sama tahun lalu, peningkatan 25%.

“Tiga daripada 10 kes meninggal dunia,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Othman berkata, aktiviti kawalan wabak dilaksanakan serta-merta oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar dan Jabatan Kesihatan Negeri.

Katanya, antara tindakan itu adalah kawalan vektor menerusi semburan ruang termal dan larvasiding di lokaliti kediaman pesakit dan tempat berisiko di lokaliti wabak.

“Pegawai Sains Kaji Serangga juga melakukan kajian entomologi di lokaliti wabak dan pengesanan kes secara aktif (ACD) di sekitar kawasan terbabit.

“Bagi mencegah penularan penyakit JE, masyarakat diseru supaya mengelakkan gigitan nyamuk dengan menggunakan racun menghalau nyamuk serta memakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang berwarna cerah apabila berada di luar rumah,” katanya.

Katanya, tindakan menyembur semburan di dalam rumah pada jam 10 malam boleh dilakukan bagi membunuh nyamuk dewasa.

“Orang ramai juga perlu membersihkan persekitaran serta mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk di kediaman masing-masing,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan rawatan segera di klinik kesihatan sekiranya mengalami gejala seperti demam, sakit kepala dan muntah.-FMT

0 ulasan:

Catat Ulasan