Isnin, 8 November 2021

Saintis ramal ribut Matahari dahsyat pada 2025

Apabila Matahari meledakkan magnet-magnet ke angkasa lepas, ia akan dipindahkan ke Bumi. – Getty

 WASHINGTON – Saintis meramalkan  fenomena ribut geomagnetik yang berlaku awal minggu lepas merupakan satu amaran kepada kejadian ribut Matahari lebih dahsyat yang dijangka berlaku pada 2025, lapor akhbar Daily Star semalam.

Fenomena ribut Matahari pada minggu lepas berlaku akibat beberapa siri ledakan pada permukaannya yang menunjukkan bahawa aktiviti solar boleh menjejaskan bukan sekadar Matahari.

Ini kerana apabila letusan tersebut sampai ke Bumi, ia boleh mewujudkan fenomena digelar cuaca angkasa lepas, yang boleh merosakkan satelit serta menghasilkan kejadian cahaya aurora.

“Dalam tempoh beberapa tahun lepas, hanya terdapat beberapa aktiviti solar yang minimum, namun kini fenomena tersebut semakin kerap berlaku.

“Ini telah mempercepatkan kitaran solar yang seterusnya, di mana kami meramalkan ia akan berlaku pada 2025,” kata Penyelaras Program Pusat Ramalan Cuaca Angkasa Lepas, Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat, Bill Murtagh.

Tambah Murtagh, kejadian ribut geomagnetik pada minggu lepas berasal daripada Lontaran Jisim  Korona (CME), yang merupakan gelombang-gelombang bahan daripada Matahari yang kadangkala meledak.

“CME merupakan awan gas plasma seberat berbilion-bilion tan yang mempunyai medan magnetik. Apabila Matahari meledakkan magnet-magnet tersebut ke angkasa lepas, ia akan dipindahkan ke Bumi.

“Bagaimanapun, Bumi mempunyai medan magnetiknya yang tersendiri dan sekiranya magnetik-magnetik ini bercampur, ia akan mengakibatkan kejadian ribut geomagnetik yang besar dan dahsyat,” jelasnya. – Agensi 

0 ulasan:

Catat Ulasan