Isnin, 8 November 2021

OKU, rakan didenda RM2,000 tipu tuntutan insurans

 Dua lelaki didenda di Mahkamah Majistret (Munisipal) Seberang Perai selepas didapati bersalah menipu syarikat insurans - Foto NSTP/Nur Izzati Mohamad

Dua lelaki didenda di Mahkamah Majistret (Munisipal) Seberang Perai selepas didapati bersalah menipu syarikat insurans - Foto NSTP/Nur Izzati Mohamad

BUTTERWORTH: Dua lelaki termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) masing-masing didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret (Munisipal) Seberang Perai, di sini selepas didapati bersalah menipu sebuah syarikat insurans dengan membuat tuntutan palsu bernilai RM500,000 pada April 2019.

Hukuman itu ditetapkan Majistret Noor Farah Hazwani Osman ketika sebutan semula kes terbabit hari ini.

Terdahulu kedua-dua tertuduh, Muhammad Akmal Aliff Omar, 29 yang kudung tangan kiri dan Muhamad Rizal Ahmad, 34 hadir ke mahkamah bagi mendengar keputusan yang akan dijatuhkan terhadap mereka.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama telah menipu syarikat The Pacific Insurance Bhd yang mendorong syarikat itu untuk membuat bayaran tuntutan sebanyak RM500,000 atas tuntutan kemalangan yang tidak wujud.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 4 April 2019 di The Pacific Insurance Bhd, 40-01, Q Sentral, 2A, Jalan Steen Sentral 2, Kuala Lumpur.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 417 atau Seksyen 511 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, mereka berdua boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin, manakala Muhammad Akmal Aliff dan Muhamad Rizal diwakili Lily Syarmeela Asyiqin Hamid.

Ketika prosiding hari ini, Lily Syarmeela membuat rayuan kepada mahkamah supaya dapat memberikan hukuman ringan kepada tertuduh dengan alasan anak guamnya belum lagi menikmati keuntungan insurans terbabit.

Selain itu, kedua-dua anak guamnya itu yang bekerja sebagai pegawai keselamatan serta kerja kampung dengan pendapatan RM1,000 sebulan perlu menyara isteri, anak-anak serta ibu yang sakit.

Majistret kemudian menetapkan hukuman denda masing-masing RM2,000 dan jika tidak bayar akan dipenjara selama dua bulan.

Tertuduh kemudian membayar denda.

Pada Jumaat lalu, kedua-dua mereka mengaku bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan berkenaan dan dibenarkan ikat jamin RM3,000 sementara menunggu keputusan kes.

-BH Online

0 ulasan:

Catat Ulasan