Khamis, 11 November 2021

Harimau Malaya dijangka pupus lima ke 10 tahun lagi

 

HARIMAU Malaya yang kini berada dalam jagaan Zoo Negara.

KUALA LUMPUR: Spesies Harimau Malaya atau harimau belang dijangka pupus dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kepupusan itu akan berlaku jika tindakan drastik tidak diambil dengan segera.

Jelasnya, Harimau Malaya kini diancam kepupusan dengan populasinya berada pada tahap yang sangat membimbangkan.

“Justeru, Jemaah Menteri pada 16 Jun lalu bersetuju dengan sembilan tindakan strategik konservasi Harimau Malaya bagi tempoh 10 tahun bermula 2021 hingga 2030 melalui tiga pendekatan,” katanya bagi mewakili Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Che Alias Hamid (Pas-Kemaman) meminta kerajaan menjelaskan mengenai usaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli bagi memastikan Harimau Malaya menjadi spesies ikonik negara tidak pupus.

Wan Junaidi berkata, antara usaha dilakukan kementerian mengatasi kepupusan harimau adalah mengukuhkan rondaan penguatkuasaan dan pengawalan serta pemeliharaan dan pemuliharaan habitat semula jadi Harimau Malaya.

“Adalah diharapkan tindakan strategik ini dapat memberi keberhasilan yang signifikan dalam memastikan kelangsungan hidup Harimau Malaya,” katanya.

“Kerjasama dengan pihak luar pula dilaksanakan bagi pembiakan (captive breeding) Harimau Malaya dan Rusa Sambar dalam kurungan untuk tujuan pelepasan ke habitat asal,” katanya.

-Utusan Online

0 ulasan:

Catat Ulasan