Isnin, 22 November 2021

Kematian akibat Covid-19 lepasi 30,000 kes, Selangor tertinggi

 

Pecahan kes berkaitan Covid-19 mengikut negeri sehingga 21 November 2021. - Sumber KKM

Kes kematian akibat komplikasi Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam, turun empat hari berturut-turut, menurut laporan harian Kementerian Kesihatan (KKM) dalam laman sesawangnya COVIDNOW, hari ini.

Semalam seramai 24 pesakit Covid-19 di sepuluh negeri meninggal dunia, berbanding 38 kes kematian pada Sabtu, Jumaat (45 kes), dan Khamis (55 kes). Seramai 68 pesakit dilaporkan meninggal dunia pada Rabu (17 November 2021).

Jumlah kematian semalam menjadikan kumulatif sejak wabak Covid-19 mula melanda negara awal tahun lalu kini sebanyak 30,002 kes, termasuk 6,064 pesakit yang meninggal dunia sebelum sempat menerima rawatan perubatan atau kes ‘brought in death’ (BID).

Mengikut rekod KKM, dalam tempoh 24 jam semalam Kelantan mencatat lima kematian, menjadikan kumulatif 1,121 kes. Negeri itu merekodkan 151,711 kes positif dengan 144,514 pesakit telah sembuh.

Sehingga semalam, Kelantan mencatatkan 6,111 kes aktif, termasuk 4,673 yang menjalani kuarantin di rumah; 813 ditempatkan di PKRC; 583 dimasukkan ke hospital; dan 42 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 25 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, Johor merekodkan empat kematian; diikuti masing-masing tiga di Kedah dan Perak; dan masing-masing dua di Sabah, Sarawak serta Terengganu.

Satu kes kematian masing-masing dicatatkan di Negeri Sembilan, Pahang, dan Pulau Pinang.

Tiada kes kematian direkodkan di Melaka, Perlis, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Sementara itu, kes aktif di Selangor terus meningkat kepada 18,210 semalam, berbanding 17,822 pada Sabtu.

Daripada jumlah kes aktif itu, 15,828 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 1,267 ditempatkan di PKRC; 1,025 dimasukkan ke hospital; dan 90 pesakit dirawat di ICU), dengan 50 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Selangor juga merekodkan kumulatif positif sebanyak 740,277 kes, berbanding 713,882 pesakit disahkan sembuh, manakala 9,727 lagi meninggal dunia.

KKM juga melaporkan jumlah kes aktif di seluruh negara semalam turun 695 kes menjadi 68,790, berbanding 69,485 kes pada Sabtu.

Daripada jumlah itu, 55,026 pesakit dikuarantin di rumah; 7,792 ditempatkan di PKRC; 5,431 dimasukkan ke hospital; dan 541 pesakit dirawat di ICU, dengan 267 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam, negara mencatat 2,580,874 kumulatif positif dengan 2,487,809 pesakit telah sembuh.

-Agenda Daily

1 ulasan: