Khamis, 23 September 2021

Vaksin berkesan, kadar kematian kes Covid19 dos lengkap 0.01 peratus: Khairy

 

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin meninjau pelaksanaan PICK Remaja di SMK Putrajaya Persint 8 (1). - Gambar kredit KKM

Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjelaskan vaksin yang diberikan kepada orang ramai berkesan dalam memberi perlindungan daripada Covid-19, malah kadar kematian bagi individu yang lengkap dos juga rendah.

Menteri Kesihatan berkata kadar kematian dalam kalangan 14 juta individu yang menerima dos vaksin lengkap adalah 0.01 peratus atau 1,400 kes. Kadar tersebut tidak tidak mengambil kira jenis vaksin yang diberikan.

Jelasnya, kajian populasi kendalian Institut Kesihatan Nasional (NIH) itu turut menunjukkan kadar kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) dalam kalangan individu yang mempunyai sejarah imunisasi lengkap ialah 0.007 peratus atau 980 kes.

“Ini menunjukkan walaupun ada kematian direkodkan dalam kalangan mereka yang sudah lengkap suntikan imunisasi, vaksin masih berkesan.

“Perlu diingat vaksin bukan perlindungan 100 peratus, tetapi ia mampu membendung seseorang mengalami risiko gejala teruk dan kematian apabila dijangkiti.

“Keberkesanan vaksin ini dicatatkan meskipun berlaku penularan jangkitan disebabkan varian membimbangkan (VOC) seperti delta,” katanya pada sesi penggulungan di Dewan Rakyat hari ini.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancarkan 24 Februari lalu sudah mencapai sasaran awal apabila 80 peratus populasi dewasa di Malaysia melengkapkan suntikan vaksin masing-masing.

Dalam melawan penularan Covid-19, kerajaan giat melaksanakan program vaksin besar-besaran bagi mencapai imuniti berkelompok dengan segera dengan memastikan semua rakyat menerima dos lengkap vaksin.

-Agenda Daily

0 ulasan:

Catat Ulasan