Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jerlun) mendakwa Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berjanji untuk melantik Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) apabila dia dilantik sebagai perdana menteri baru, menggantikan Muhyiddin Yassin.
Namun, Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu mendakwa ia tidak dikotakan meskipun penubuhan MPN pada mulanya adalah cadangan Mahathir.
Mukhriz berkata, parti itu juga memang mencadangkan Mahathir untuk mempengerusikan MPN kerana menurutnya dia tiada sebarang kepentingan politik.
“Beliau (Mahathir) dah umum akan lepaskan jawatan dalam pengerusi Pejuang sekiranya dilantik sebagai pengerusi MPN.
“Malah saya dimaklumkan bahawa Bera (Ismail Sabri) telah berjumpa dengan YB Langkawi (Mahathir) sebelum dilantik menjadi perdana menteri baru-baru ini. (Mahathir) telah dijanjikan bahawa MPN ini akan ditubuhkan sekiranya Bera (Ismail Sabri) jadi perdana menteri dan YB Langkawi (akan) dilantik sebagai pengerusinya.
“Malangnya janji itu tak dikotakan tapi kita rasakan ini masih lagi perkara yang sangat penting jika kita serius ingin tangani krisis yang dihadapi hari ini,” dakwanya di Dewan Rakyat hari ini.
Pada 4 September, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali memaklumkan bahawa bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dilantik untuk mempengerusikan MPN - satu kedudukan yang bertaraf menteri.Pada 15 Ogos lalu, Timbalan Presiden Pejuang Marzuki Yahya mengesahkan Ismail Sabri yang ketika itu merupakan timbalan perdana menteri bertemu Dr Mahathir untuk mendapatkan sokongan menjadi perdana menteri baru.
Pertemuan yang berlangsung selama 30 minit itu turut melibatkan gesaan Mahathir untuk menubuhkan MPN.
Mahathir sebelum ini membangkitkan idea penubuhan MPN - satu badan seakan Mageran yang mentadbir negara selepas tragedi 13 Mei 1969 sehingga 1971.
Bekas perdana menteri itu turut menyenaraikan nama-nama yang difikirkannya sesuai menganggotai MPN yang melibatkan tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang merangkumi perubatan, ekonomi, perundangan, pendidikan dan politik.
Mengulas lanjut perkara itu, Mukhriz bagaimanapun berkata apa yang mengejutkan Ismail Sabri sebaliknya melantik Muhyiddin sebagai pengerusi MPN.
Ini dakwa Mukriz walaupun Muhyiddi telah gagal menangani pandemik Covid-19 sewaktu memegang jawatan tertinggi negara.
“Sebaliknya kita dapati apa yang dicadangkan hanyalah 50 peratus anggota MPN kerajaan ini adalah daripada pakar, 25 peratus ahli politik mungkin dari kerajaan, 25 peratus lagi ahli parlimen dari pembangkang.
“Saya tidaklah nak soal keupayaan ahli-ahli parlimen atau orang-orang politik ini untuk sumbang idea tapi ini dah buat pun sebelum ini dan tak berjaya.
“Maka saya rasa paling penting sekarang ni kita serahkan bulat-bulat kepada orang yang pakar dalam bidang untuk cadang pada kerajaan apa langkah-langkah terbaik untuk tangani krisis yang kita hadapi ketika ini,” katanya lapor Malaysiakini
Credit:Anak Sungai Derhaka
0 ulasan:
Catat Ulasan