PETALING JAYA – Seorang wanita warga emas berbangsa Cina yang sedang menerima rawatan akibat dijangkiti Covid-19 dikatakan mahu memeluk agama Islam sebelum dia ditidurkan di sebuah hospital di Sabah baru-baru ini.
Ustaz Mohd Taufik Tee Abdullah menerusi laman Facebook hari ini memuat naik sebuah klip video memaparkan tiga jururawat berada di samping warga emas itu dengan seorang daripada mereka mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah.
“Sebelum ditidurkan aunty (mak cik) ini minta disyahadahkan dua kalimah,” tulisnya dalam kapsyen hantaran tersebut malam ini.
Wanita itu kelihatan melafazkan kalimah suci itu satu persatu dengan agak lancar tanpa menghadapi masalah.
Dalam pada itu, Ustaz Firdaus Wong Wai Hung dalam satu hantaran di laman Facebook berkata, warga emas itu semakin beransur sihat dan dia tidak ditidurkan.
“Seorang daripada anaknya juga telah lebih awal memeluk Islam. Kejadian ini dikatakan berlaku di Hospital Duchess of Kent, Sandakan di Sabah,” tulisnya.
Kebanyakan netizen menyifatkan wanita itu sangat beruntung kerana diberi hidayah dan mendoakan kesembuhan wanita itu.
“Moga Allah permudahkan beliau untuk mendalami ilmu agama. Semoga dipermudahakan segala urusan. Terima kasih barisan hadapan. Jasa anda amat besar ganjaranya,” komen Mohd Pilus.
“Mak cik umpama bayi yang suci baru lahir. Alhamdulillah. Tahniah mak cik. Semoga sembuh dan sihat daripada Covid-19,” kata Iziza Absha.
“Apa yang penting bersihkan hati selalu. Sebab hati yang menentukan bagaimana pengakhiran seseorang bukan asalnya. Moga kita semua mendapat khusnul khatimah (pengakhiran yang baik),” tulis Ann Fardan. – K! ONLINE
0 ulasan:
Catat Ulasan