Sabtu, 12 Oktober 2024

Lebih 8.8 juta undi angkat Aina Abdul Bintang Paling Popular ABPBH 36

 Aina Abdul diumum Bintang Paling Popular sempena ABPBH 36. - NSTP / TEAM ABP

Aina Abdul diumum Bintang Paling Popular sempena ABPBH 36. - NSTP / TEAM ABP

SHAH ALAM: Berbekalkan 8,882,662 undi, penyanyi Aina Abdul malam ini diumum sebagai Bintang Paling Popular sempena Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36.

Terdahulu, Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani turut memenangi kategori Penyanyi Wanita Popular yang diinspirasikan CONBOO, mengekalkan trofi sama yang dijulangnya pada edisi ke-35.

Aina pada edisi kali ini, turut tercalon dalam kategori Ekstra Tonton Paling Popular iaitu Lagu Paling Boom. Bagaimanapun, dia kecundang di tangan Ernie Zakri dan Ade Govinda yang mempertaruhkan lagu Masing Masing.

Sepanjang tahun lalu, banyak kejayaan dicapai Aina termasuk meraih tempat ketiga pada Anugerah Juara Lagu (AJL) 38 menerusi lagu Jangan Mati Rasa Itu serta mempertahankan trofi Vokal Terbaik.

Aina Abdul diumum Bintang Paling Popular sempena ABPBH 36. - NSTP / TEAM ABP
Aina Abdul diumum Bintang Paling Popular sempena ABPBH 36. - NSTP / TEAM ABP

Aina juga melakar sejarah peribadi apabila mementaskan Konsert A Night With Aina Abdul (ANWAA) 3.0 di Axiata Arena, Bukit Jalil, November tahun lalu.

Sinonim dengan fesyen pelik dan esentrik, Aina tidak pernah sunyi dengan kontroversi apabila penampilan ketika membuat persembahan atau menghadiri acara hiburan menjadi topik perbincangan dalam media sosial.

Bertemakan Teguh, ABPBH 36 diinspirasikan penaja utama, CONBOO.

-BH Online 

0 ulasan:

Catat Ulasan