Faham tak maksud SOP? COVID-19 tak kira agama, bangsa dan keturunan
BANGI, 24 Jamadilakhir 1442H, Sabtu – Pemimpin parti perkauman MCA dan DAP kelihatan senada tidak bersetuju dengan prosedur operasi standard (SOP) untuk perayaan Tahun Baru Cina minggu depan.
Bantahan dapat dilihat apabila Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker menggesa senarai yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu ditarik balik dan diganti dengan versi yang disemak semula.
Menerusi catatan di Facebook, Timbalan Menteri Perpaduan Negara itu mendakwa seseorang telah melakukan kesilapan berhubung SOP itu.
Bagaimanapun, Lian Ker tidak menjelaskan kesalahan berkenaan atau memberikan cadangan untuk diperbaiki.
Beliau hanya menyertakan catatan yang memperincikan SOP, antara lain melarang keluarga pulang ke rumah untuk percutian dua hari, saling mengunjungi atau berkumpul untuk makan malam bersama keluarga yang disambut pada malam Tahun Baru Cina.
Sebagai gantinya, senarai itu mengatakan bahawa kerajaan hanya membenarkan keluarga yang tinggal di rumah yang sama untuk makan malam bagi memperingati majlis itu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming menjelaskan, maksud makan besar untuk mereka yang tinggal di rumah sama oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hanyalah bermaksud makan malam biasa dan bukan makan besar Tahun Baru Cina.
Justeru, pemimpin DAP itu meminta sekurang-kurangnya keluarga di daerah atau kawasan yang sama dibenarkan berkumpul untuk makan malam perjumpaan Tahun Baru Cina dengan kadar maksimum 10 hingga 15 orang.
Sementara itu, ADUN Kampung Tunku, Lim Yi Wei – DAP – pula menyifatkan SOP Tahun Baru Cina itu sebagai gurauan.
Beliau secara sinis menyarankan MCA memberi nasihat kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar mempunyai kesedaran budaya dalam isu berkenaan.
Meskipun SOP itu dipertikaikan, pengguna media sosial yang bimbang dengan lonjakan kes harian COVID-19 mendesak ahli politik patuh arahan pihak berkuasa.
Rata-rata netizen menyifatkan desakan mereka supaya SOP Tahun Baru Cina ditarik balik adalah tidak masuk akal dan merepek.
“Dia faham tak maksud SOP? Orang lain boleh ikut SOP. Kenapa dia tak boleh ikut SOP? COVID-19 tak kira agama bangsa dan keturunan. Apa merepek suruh tarik balik SOP?,” demikian kata Philip Jemat.
Pengguna sosial dikenali sebagai Juliana Rohaizat pula meminta semua pihak memahami krisis kesihatan yang berlaku ketika ini.
“Duduklah dekat rumah itu jaga diri sendiri. Kami boleh saja terima tak dapat sambut raya. Kaum India pun faham. Jadi kaum Cina janganlah nak banyak bunyi. Hadaplah sama macam kaum lain,” katanya.
Kok Sen Wai yang mendakwa sebagai seorang doktor merayu ahli politik terbabit menarik balik kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu dan menggesa mereka memikirkan nasib barisan hadapan.
“Kami takut, sakit dan letih. Jangan menyokong perjumpaan keluarga pada masa ini,” katanya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri, Lim Kit Siang mendakwa SOP perayaan Tahun Baru Cina sebagai bukti terbaharu kegagalan kerajaan untuk merangka pendekatan dan strategi yang melibatkan ‘keseluruhan kerajaan’ dan ‘keseluruhan masyarakat’ dalam melawan wabak COVID-19.
Beliau turut meminta agar ia ditarik semula dan digantikan dengan SOP baharu yang lebih sensitif kepada keperluan mendapatkan semula kepercayaan, keyakinan, dan sokongan rakyat.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng juga menggesa kerajaan mengkaji semula SOP yang dianggapnya tidak sensitif terhadap masyarakat Tiong Hua.
Dakwanya, kontroversi terbesar adalah melarang makan malam perjumpaan Tahun Baru Cina dan keluarga berkumpul.
“DAP meminta kerajaan persekutuan untuk mengkaji dan memperbetulkan SOP terbaru mereka untuk perayaan Tahun Baru Cina, yang bukan hanya tidak sensitif terhadap masyarakat Cina tetapi benar-benar tidak menghormati,” dakwanya.
-ismaweb.net
0 ulasan:
Catat Ulasan