Selasa, 30 Mei 2023

Skandal LCS: Benarkah Tiada Pendakwaan?

 Sebenarnya bukan tiada dakwaan langsung tetapi telah ada satu dakwaan iaitu tiga pertuduhan pecah amanah projek Kapal Tempur Pesisir (LCS), membabitkan dana syarikat bernilai lebih RM21 juta terhadap bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 16 Ogos 2022.


Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang ketika itu sebagai Pengarah Urusan BNS melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta iaitu dana Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd dengan curang meluluskan pembayaran berjumlah RM13,541,140 ke akaun Syarikat Setaria Holding Limited tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta dana Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd iaitu dengan curangnya meluluskan pembayaran berjumlah RM1,360,716 ke akaun Syarikat JSD Corporation Pte Ltd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah.

Pertuduhan ketiga, beliau didakwa melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta dana Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd, iaitu dengan curangnya meluluskan pembayaran berjumlah RM6,182,295 ke akaun Syarikat Sousmarin Armada Ltd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah.

Beliau didakwa melakukan semua kesalahan itu di di Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd, Menara Boustead, Jalan Raja Chulan pada 26 Julai 2010, 28 Oktober 2010, 25 Mac 2011, 19 April 2011, 4 Mei 2011 dan 22 November 2011.

Tertuduh, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Noor, 78, yang juga Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Bagaimanapun Kerajaan perlu menjelaskan masalah yang dihadapi membabitkan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) berikutan terdapat beberapa persoalan tadbir urus dan ketelusan yang masih tidak terjawab.

Laporan berkaitan..


KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak mendesak kerajaan menjelaskan masalah yang dihadapi membabitkan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) berikutan terdapat beberapa persoalan tadbir urus dan ketelusan yang masih tidak terjawab.

Mereka turut mempersoalkan kenapa sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil bagi menangani pelbagai persoalan dibangkitkan, termasuk mengheret dan mendakwa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan dalam satu kenyataan semalam berkata, kerajaan perlu telus dalam menjelaskan permasalahan projek LCS selepas menyahklasifikasikan Laporan Perolehan dan Siasatan Kewangan oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

"Malah beliau (Ambrin) menyatakan bahawa kerajaan tidak sepatutnya bersembunyi di belakang Akta Rahsia Rasmi atau menggunakan alasan 'keselamatan negara' sekiranya penyalahgunaan kuasa atau rasuah dikesan," katanya.

Isu LCS menarik semula perhatian apabila Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan Jumaat lalu bahawa Kementerian Kewangan telah menubuhkan syarikat bertujuan khas (SPV) bagi mengambil alih syarikat yang bertanggungjawab terhadap projek LCS iaitu Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), sebagai anak syarikat kepada Kementerian Kewangan (MOF).

Bagaimanapun, Mohamad berkata, pelaksanaan projek LCS tetap akan dipantau melalui Jawatankuasa Pemantauan Projek (PMC) yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak mempunyai pilihan, selain mengambil alih syarikat yang bertanggungjawab terhadap projek LCS iaitu BNS supaya projek dapat diselesaikan.

Perdana Menteri berkata, ia berikutan kerajaan telah membelanjakan RM6 bilion bagi projek LCS.

"Ada projek yang on-going yang mesti kita (kerajaan) selesaikan termasuk LCS. Kita tiada pilihan, dah belanja RM6 bilion. Kita tidak boleh tutup, kita kena ambil alih untuk menyelesaikan projek," katanya.

Muhammad juga berkata, Anwar berkali-kali menyatakan komitmen tegas beliau untuk memerangi rasuah dan menambah baik amalan tadbir urus dan integriti dalam sektor awam.

"(Justeru) memastikan projek LCS tidak terbengkalai adalah penting. Memastikan mereka yang bertanggungjawab untuk projek bermasalah ini dan mengenakan tindakan ke atas mereka juga adalah penting," katanya.

TI-M TERIMA KEPUTUSAN

Tambahnya, TI-M menerima pakai rasional keputusan yang dibuat kerajaan untuk menubuhkan SPV yang akan mengambil alih tanggungjawab BNS, syarikat yang diberi kontrak pada 2011 untuk membina dan membekalkan enam LCS bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Katanya, ia kerana RM6.083 bilion wang pembayar cukai sudah pun dibayar. Namun, Muhammad mendakwa melalui semakan yang dibuat berkaitan status projek berkenaan mendapati terdapat beberapa hasil keputusan yang tidak memuaskan.


"Antara persoalan yang timbul adalah kapal pertama antaranya dijadualkan untuk dihantar pada April 2019, selepas empat tahun, namun tiada satu kapal pun yang diterima.

"Projek yang menelan belanja RM9 bilion sudah meningkat kepada RM11.2 bilion dan kini TLDM hanya akan menerima lima kapal LCS berbanding rundingan awal enam," katanya.

Sebelum ini, pembinaan kapal LCS terpalit kontroversi apabila Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 7 Ogos 2022 mendedahkan, tiada seunit pun telah disiapkan walaupun kerajaan telah membelanjakan RM6.083 bilion menerusi BNS.

Pengerusi PAC ketika itu, Wong Kah Woh berkata, terdapat elemen kelemahan dan penyelewengan dalam projek itu dan PAC mendapati BNS tidak menggunakan sepenuhnya bayaran daripada kerajaan untuk projek berkenaan.

Laporan PAC turut menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek LCS, antara perolehan terbesar negara yang digariskan di bawah Pelan Transformasi Armada 15 hingga 5 TLDM.

Pembongkaran skandal LCS turut memaksa kerajaan ketika itu mendedahkan laporan audit dan laporan forensik berkaitan projek berkenaan, sekali gus kemungkinan wujud penyelewengan dana kerajaan sepanjang projek berkenaan berjalan.

Dalam nada sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4), Pushpan Murugiah, berkata kerajaan perlu memastikan tindakan tegas diambil ke atas individu yang terbabit dalam skandal berkenaan.

"Tindakan mendakwa mereka yang bertanggungjawab dalam skandal ini penting dalam usaha membanteras gejala rasuah yang sedang berleluasa.

"Pendakwaan itu akan memastikan Perdana Menteri benar-benar serius dalam membanteras rasuah dan bukan sekadar retorik," katanya.

Murugiah berkata, usaha memperkasa keselamatan dan aset pertahanan negara adalah keutamaan penting, tambahan pula TLDM menunggu sekian lama untuk memperoleh kapal berkenaan - BH

-Anak Sungai Derhaka

0 ulasan:

Catat Ulasan