Isnin, 1 Mei 2023

Annuar Musa dijangka sertai PAS

 

ANNUAR Musa. FOTO arkib NSTP

Kota Bharu: Bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dijangka menyertai PAS dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pengerusi Muafakat Nasional (MN) itu antara 20 bekas pemimpin Umno yang menyatakan hasrat menyertai Perikatan Nasional (PN).

"Annuar ada maklumkan untuk sertai PAS baru-baru ini. Memang PN menerima banyak permintaan daripada bekas-bekas pemimpin UMNO untuk sertai.

"Kita akan menyusul dengan perbincangan lanjut. Kesemua mereka itu dalam proses untuk selaraskan kemasukan.

"Mereka boleh menyertai mana-mana parti dalam PN sama ada PAS atau Bersatu, atau mereka boleh terus menjadi ahli bersekutu PN. Kita tiada halangan untuk pertimbang kemasukan mereka memandangkan tawaran dibuat kepada semua bekas pemimpin UMNO termasuk Khairy Jamaluddin," katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Parlimen Kota Bharu, di sini, hari ini.

Ditanya sama ada bekas pemimpin Umno yang bakal menyertai PN itu akan diberikan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, Takuyuddin berkata, perkara itu bergantung kepada keadaan.

"Proses pertama adalah kemasukan mereka dalam PN dan sama ada mereka akan diberi kerusi adalah proses kedua.

"Bagaimanapun saya pasti akan ada dalam kalangan mereka yang akan diberikan kerusi untuk PRN nanti," katanya.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan Khairy ada memberi maklum balas kepada tawaran yang dibuat PN.

"Beliau memaklumkan akan bersama dengan kita namun tidak dinyatakan secara spesifik. Beliau memaklumkan tidak akan bersama dengan Umno dan PH.

"Justeru, kita jangka beliau akan bersama dengan kita," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Annuar menafikan sudah bersara daripada arena politik tanah air sebaliknya menegaskan akan lebih aktif selepas ini.

Beliau yang juga bekas Setiausaha Agung Umno bagaimanapun berahsia mengenai parti mana yang akan disertainya, namun akan memilih parti yang 'berhaluan baik'.

-Wak Labu Farm

0 ulasan:

Catat Ulasan