Ahad, 5 Mac 2023

Syarikat Jepun minat labur RM140 juta di Kelantan

 

KOTA DARULNAIM: Sebuah syarikat dari Jepun yang berasaskan pembangunan produk karbon berminat melabur RM140 juta di Kelantan.

Pelaburan tersebut adalah bagi membina fasiliti ‘Waste Plastic Carbonization and Volume Redaction System‘ yang akan menghasilkan ‘Activated Carbon‘.

Bahan ini akan digunakan sebagai bahan utama untuk menghasilkan produk seperti carbon plate, elektrod yang akan digunakan dalam kapasitor, filter pelbagai gred, penebal haba dan pelbagai lagi produk yang menggunakan karbon sebagai bahan asas.

Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, YB Dato’ Dr Izani Husin sewaktu menerima kunjungan delegasi daripada Ohgi Technological Creation Co (Ohgi) di MABNA-MBI, semalam.

Rombongan tersebut diwakili Pengasas Ohgi,  Takehiko Ohki, Pengasas Bersama Ohgi, Ryuichiro Kuboshima dan wakil Syarikat Bersekutunya, J Global Trading Sdn Bhd.

Ohgi yang berpangkalan di Tokyo memfokus kepada pembangunan produk berasaskan karbon yang digunakan dalam bidang perubatan, makanan, pembinaan dan sebagainya.

Ohgi juga banyak terlibat dengan kajian pembangunan bersama Universiti Ryukoku bagi membangunkan pelbagai produk baharu yang berasaskan karbon.

Setakat ini Ohgi memegang 181 paten pelbagai rekaan produk.

“Pihak Ohgi berhasrat untuk bekerjasama dengan pihak Pengurusan Siso Pepejal Mubaarakan Sdn Bhd (PPSMP) selaku Syarikat Bersekutu Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd (KUM) bagi menaik taraf sistem pengurusan tapak pelupusan di Daerah Tanah Merah, Pasir Mas dan Machang,” katanya. – UPKN 


0 ulasan:

Catat Ulasan