KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dilaporkan meninggal dunia pada jam 7.10 petang tadi di Institut Jantung Negara.
Berita pemergian bekas Perdana Menteri kelima itu dikongsikan oleh menantu Allahyarham, Khairy Jamaluddin menerusi hantaran di ruangan Instagram Story hari ini.
“Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia ke-5 telah kembali ke rahmatullah pada jam 7.10 PM di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat atas roh Allahyarham dan menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
“Al Fatihah,” menurut hantaran itu hari ini.
Sebelum ini, beliau yang juga antara pemimpin UMNO itu dikejarkan ke hospital selama beberapa kali atas faktor kesihatan dan keuzuran.
Bekas pemimpin negara itu dilantik sebagai Perdana Menteri kelima pada Oktober 2003 bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu melepaskan jawatannya.
Sepanjang karier politik Allahyarham, Tun Abdullah turut memegang beberapa portfolio penting antaranya Ahli Parlimen Kepala Batas, Ketua UMNO Cawangan Bertam, Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, dan seterusnya menjadi Presiden UMNO pada 2004.
Allahyarham turut memegang beberapa potfolio penting dalam kerajaan antaranya termasuklah Menteri Pendidikan, Menteri Pertahanan, Menteri Luar Negeri, dan Timbalan Perdana Menteri.
Buletin TV3 akan membawakan perkembangannya dari masa ke masa dan setakat ini, wartawan kami telah digerakkan ke beberapa lokasi tumpuan bagi butiran selanjutnya.
-BuletinTV3
0 ulasan:
Catat Ulasan