Jumaat, 8 Oktober 2021

Subhanallah:Sarjan Mejar meninggal ketika imamkan solat Subuh

 

Sarjan Major Rosli Maskan, 56, meninggal dunia pada rakaat pertama ketika mengimamkan solat Subuh di Surau Al-Muttaqim, Batang Kali, hari ini. - Gambar PDRM

Timbalan Ketua Balai Polis Gohtong Jaya di Hulu Selangor berpangkat Sarjan Mejar (SM) dilaporkan meninggal dunia ketika mengimamkan solat Subuh di sebuah surah di Batang Kali, Hulu Selangor, pagi tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata Allahyarham Sarjan Major Rosli Maskan, 56, berkhidmat di dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 36 tahun lalu.

Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, beliau berkata SM Rosli meninggal di Surau Al-Muttaqim, Batang Kali pada jam 6.15 pagi tadi.

“Seluruh warga Polis Kontinjen Selangor menzahirkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham Sarjan Mejar 111829 Rosli bin Maskan,” katanya.

SM Rosli dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat masalah jantung.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arshad Kamaruddin, berkata SM Rosli meninggal dunia ketika mengimamkan rakaat pertama solat Subuh.

“Allahyarham bertugas di balai polis berkenaan sejak dua tahun lalu dan sentiasa komited dalam melaksanakan tugasnya sebagai Timbalan Ketua Balai Polis.

“Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor, khususnya Balai Polis Goh Tong Jaya, amat merasai kehilangannya dan akan berusaha memberikan bantuan kepada warisnya selepas ini,” katanya.

Jenazah kemudian dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu, untuk ujian saringan Covid-19.

Allahyarham Rosli meninggalkan seorang isteri, Rossilawati Abd Rahim dan empat anak akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Kuantan, Batang Kali.

-Agenda Daily

0 ulasan:

Catat Ulasan