Sabtu, 9 Oktober 2021

Pandemik Covid19:200,000 hilang sumber rezeki majlis kahwin tidak dibenarkan

Pekerja perkhidmatan majlis perkahwinan dan katering di seluruh negara terjejas teruk sejak pandemik COVID-19 melanda negara. - Foto hiasan
Pekerja perkhidmatan majlis perkahwinan dan katering di seluruh negara terjejas teruk sejak pandemik COVID-19 melanda negara. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Nasib 200,000 pekerja perkhidmatan majlis perkahwinan dan katering di seluruh negara, terjejas teruk apabila hilang sumber rezeki kerana sektor itu masih tidak dibenarkan selepas diarah tutup sejak pandemik COVID-19 melanda negara.

Majoriti pekerja dalam golongan B40 itu dikategorikan individu bekerja sendiri kerana bergantung kepada upah harian dalam sektor berkenaan yang belum dibenarkan beroperasi di bawah Fasa 1, 2 dan 3, Pelan Pemulihan Negara (PPN).

 Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM), Zarinah Mohideen, berkata pendirian kerajaan terhadap sektor perkhidmatan sosial itu menyebabkan ada pengusaha gulung tikar, selain terpaksa menjual aset perniagaan kerana tidak mampu menanggung beban kos operasi tinggi.

Zarinah Mohideen.
Zarinah Mohideen.

Justeru, beliau berkata, pengusaha juga tidak mampu menyediakan peluang pekerjaan alternatif kepada kumpulan pekerja terbabit yang tidak mempunyai kelayakan pendidikan tinggi, selagi majlis sosial dan perkahwinan tidak dibenarkan beroperasi.

"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 perniagaan majlis perkahwinan dan katering mula terjejas tetapi ada yang masih mampu bertahan dan meneruskan operasi. Apa bila PKP 2.0 dan 3.0 dikuatkuasakan ia memburukkan lagi keadaan kami sehinggakan ada yang rugi teruk dan terpaksa tutup perniagaan.

"Apabila tiada majlis kenduri kahwin diadakan maka mereka ini tidak mempunyai kerja seterusnya hilang sumber pendapatan manakala pengusaha pula menjual aset dan kelengkapan sebagai cara mengurangkan kos operasi kerana banyak kerugian perlu ditanggung.

"Dianggarkan terdapat 10,000 pengusaha majlis perkahwinan katering di negara ini. Daripada jumlah itu, kira-kira 60 peratus gulung tikar, masing-masing terpaksa menjual aset dan kelengkapan seperti kereta, motosikal, kerusi, meja dan bermacam-macam lagi," katanya kepada BH hari ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Industri Perkhidmatan Perkahwinan Pahang, Azri Che Mukhtar, berkata kebimbangan pihaknya adalah ketidaktentuan landskap perniagaan ketika ini sehingga menjejaskan sosio-ekonomi masyarakat setempat apabila tidak dapat membekalkan peluang pekerjaan kepada golongan berpendapatan rendah.

Azri Che Mukhtar.
Azri Che Mukhtar.

Katanya, khidmat mereka ini digunakan bagi membantu menyiapkan dekorasi, pelamin, menghidang makanan dengan upah di antara RM100 hingga RM150 bagi satu majlis perkahwinan.

Katanya, secara purata bagi setiap majlis itu memerlukan sekitar 31 pekerja dan jika 10,000 majlis perkahwinan diadakan setiap tahun maka ia menjadikan sebanyak 31,000 peluang pekerjaan ditawarkan kepada masyarakat setempat.

"Inilah kesan kepada rantaian bagi industri perkahwinan dan katering yang perlu diberi perhatian pelbagai pihak. Apakah jaminan sosial bagi membantu mereka yang sudah pasti hilang pendapatan antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan selagi sektor ini tidak dibuka," katanya.

Selain itu, beliau berkata, penurunan pendapatan isi rumah seperti yang dilaporkan sebelum ini di mana keluarga yang dahulunya dalam kategori M40 kini turun ke B40 turut memberi kesan besar kepada pengusaha industri perkhidmatan majlis perkahwinan dan katering.

"Kesannya amat dirasai kami apabila pelanggan kini lebih berhati hati dalam berbelanja untuk pakej perkahwinan.

"Purata bilangan jemputan bagi satu majlis juga berkurangan kepada sekitar 250 hingga 300 jemputan pada tahun lalu, berbanding 650 pada 2019.

"Jadinya, kami terpaksa mengambil pelbagai pendekatan demi kelangsungan perniagaan termasuk menyediakan pakej ekonomi kepada pelanggan yang berhasrat menempah pakej perkahwinan dengan bilangan jemputan yang kecil," katanya.

-BH Online

0 ulasan:

Catat Ulasan