Sabtu, 27 Jun 2026

MELURUSKAN FAKTA MENGENAI ISU PINTU BELAKANG KE UNIVERSITI AWAM OLEH HAIM HILMAN

 MELURUSKAN FAKTA MENGENAI ISU PINTU BELAKANG KE UNIVERSITI AWAM

Bagi menangkis naratif songsang dan kesalahfahaman masyarakat mengenai isu yang saya bangkitkan, berikut adalah penjelasan saya:

1. Mengapa ketika menjadi Naib Canselor dahulu saya tidak membangkitkan isu ini?

Kerana pada ketika itu pelaksanaan saluran ini belum dipromosikan secara meluas seperti hari ini. Malahan saya sendiri tidak mendukung cara kemasukan melalui kaedah Saluran Terbuka yang mana saya rujuk sebagai Pintu Belakang. 

Namun begitu, setelah saya tidak lagi berkhidmat sebagai Naib Canselor khususnya beberapa tahun kebelakangan ini, trend kemasukan melalui saluran ini semakin berkembang dan dilihat universiti awam semakin rancak mempromosikannya.  

Atas sebab itu saya mula bersuara khususnya apabila melihat perkara ini semakin serius dan pada saya bahawasanya penelitian serius perlu dibuat demi memastikan akses ke universiti awam berasaskan merit terus kekal terpelihara demi keadilan buat semua rakyat Malaysia.

2. Adakah saya membuat fitnah?

Tidak.

Saya mempunyai fakta, data dan asas yang kukuh bagi setiap kenyataan yang saya buat. Pengalaman, dokumen dan bukti berkaitan akan saya kemukakan kepada pihak mahkamah melalui pasukan peguam saya.

3. Adakah ini serangan politik?

Tidak.

Perjuangan saya adalah untuk memperbaiki sistem pendidikan tinggi negara. Saya berhujah atas isu kelemahan polisi berkaitan kaedah kemasukan pelajar yang diguna pakai oleh universiti awam dan KPT hari ini.

Saya percaya semua pihak yang rasional iaitu tanpa mengira fahaman politik akan bersama mempertahankan hak anak-anak Malaysia untuk mendapat akses pendidikan tinggi khususnya ijazah sarjana muda sepenuh masa secara adil iaitu berasaskan merit. 

4. Mengapa kemasukan berasaskan merit sangat penting?

Ia adil kepada semua pihak. Tempat anak miskin atau siapa sahaja yang layak berasaskan merit untuk mengikuti program akademik mesti dipertahankan. Tempat itu tidak boleh sama sekali 'dijual' kepada pelajar yang mampu 'membelinya' walaupun merit mereka setara apatah lagi jika lebih rendah dari pelajar miskin yang masuk melalui saluran UPU.  Dengan kata lain, 'menjual' tempat kepada pelajar melalui Saluran Terbuka adalah satu kezaliman kepada pelajar miskin.

Tambahan pula, saya memiliki data permohonan kemasukan ke program Ijazah Sarjana Muda Universiti Awam diterima melalui UPUOnline. Daripada jumlah itu, saya tahu berapa ramai berjaya ditawarkan tempat dan berapa ramai gagal.

5. Adakah benar saya menyebut jumlah seperti diperkatakan?

Ya, benar.

Angka tersebut bukan dibuat secara sewenang-wenangnya. Saya mempunyai asas dan analisis yang menyokong kenyataan tersebut. Malah, data yang berada dalam simpanan saya menunjukkan jumlahnya berpotensi lebih besar daripada itu.

6. Bukankah private wing memang sudah wujud di universiti awam?

Ya, memang ada beberapa universiti awam memilikinya. Namun begitu, konsep private wing sebenar perlu jelas di mana universiti awam itu perlu menubuhkan entiti private wing itu dengan jelas seperti mempunyai pensyarah, pentadbir, bangunan, fasiliti dan program akademiknya sendiri. Private wing yang memiliki semua ini tidak menjadi masalah.

Apa yang menjadi persoalan utama ialah apabila private wing itu menggunakan kemudahan universiti awam tanpa tadbir urus dan pemisahan yang jelas antara operasi public wing (core business universiti awam) dan private wing (entiti swasta milik universiti awam itu).

Lebih buruk lagi dari aspek tadbir urus ialah apabila pelajar masuk melalui Saluran Terbuka @ private wing dengan kadar yuran komersil tetapi belajar dalam kelas yang sama dengan pelajar yang masuk melalui saluran UPU yang membayar 10 peratus sahaja dari keseluruhan yuran pengajian.

7. Adakah isu yang saya bangkitkan juga merujuk kepada pelajar yang masuk melalui saluran Pembelajaran Jarak Jauh (PJJ), APEL, program kerjasama khas industri, program kerjasama khas institusi/agensi dan seumpama dengannya? 

Tidak.

Apa yang saya bangkitkan ialah berkaitan program akademik sepenuh masa dan lebih tepat lagi peringkat ijazah sarjana muda. Mereka yang masuk ke satu-satu program akademik itu dengan membayar yuran penuh dan atas sebab membayar yuran penuh itu, syarat atau merit mereka direndahkan berbanding kumpulan pelajar yang masuk melalui saluran UPU iaitu berasaskan merit sepenuhnya.

Seperti yang saya jelaskan di atas, pelajar melalui Saluran Terbuka ini mengikuti pengajian menggunakan program akademik, kelas, pensyarah, makmal, fasiliti dan infrastruktur yang sama dengan pelajar yang masuk melalui saluran UPU. 

Inilah titik utama permasalahan yang saya bangkitkan. Secara khususnya saya mempersoal akan kegagalan universiti awam mendukung aspirasi pendidikan negara, prinsip tadbir urus baik, integriti dan tanggungjawab moral dalam mengurus dan menggunakan fasiliti universiti awam yang dibiayai oleh wang rakyat atau pembayar cukai. 

7. Mengapa saya dihadapkan ke mahkamah?

Difahamkan terdapat 15 laporan polis yang dibuat dan kebanyakannya melibatkan universiti awam. Tidak pelik mengapa mereka membuat laporan polis kerana pendedahan saya ini menganggu gugat universiti awam yang sangat giat mempromosikan saluran terbuka ini.

Saya juga melihat terdapat beberapa institusi yang memberikan kenyataan secara terbuka di media sosial sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah mereka sedang mengambil pendirian dalam polemik ini.

Walau bagaimanapun, saya menghormati proses undang-undang dan akan menjawab segala dakwaan melalui saluran mahkamah.

8. Adakah pertuduhan ini bermakna saya bersalah?

Tidak.

Saya telah mengaku tidak bersalah dan memohon supaya kes ini dibicarakan sepenuhnya di mahkamah.

Sebutan semula kes telah ditetapkan pada 30 Julai 2026 bagi tujuan serahan dokumen.

9. Apa yang berlaku semasa prosiding mahkamah?

Pihak pendakwaan memohon wang jaminan sebanyak RM10,000 serta memohon supaya pasport antarabangsa saya diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

Barisan peguam saya, yang diketuai oleh Tuan Mohd Faizi Che Abu, berhujah bahawa jumlah tersebut adalah tidak munasabah dan bersifat menghukum.

Beliau turut berhujah bahawa permohonan sekatan perjalanan adalah tidak wajar kerana ia seolah-olah menghukum seorang tertuduh sebelum kes diputuskan oleh mahkamah.

Mahkamah akhirnya membenarkan saya diikat jamin sebanyak RM5,000, tanpa sebarang sekatan perjalanan dan tanpa syarat tambahan.

Sesungguhnya perjuangan saya dalam hal ini adalah untuk membela nasib semua anak Malaysia (Melayu, Cina, India, Sabah, Sarawak dan lain-lain bangsa) khususnya daripada keluarga kurang berkemampuan iaitu B40 dan M40. 

Saya mahu hak mereka untul masuk ke universiti awam terbela. Kemasukan melalui saluran UPU berasaskan merit membolehkan  semua pihak iaitu pelajar miskin dan kaya mempunyai peluang yang sama untuk mengikuti program-program akademik kritikal seperti perubatan, farmasi, kejuruteraan, perakauan, perundangan, IT dan lain-lain.

Untuk itu saya akan kekal istiqomah dalam memperjuangkan hal ini demi masa depan pendidikan anak-anak Malaysia dan demi keadilan buat semua anak muda negara. Dengan kata lain saya akan berjuang dan memastikan tiada satu pun tempat di universiti awam 'dijual' kepada mereka yang mempunyai duit. 

Akhir kata, seluruh rakyat Malaysia perlu mempertahankan dasar dan kaedah untuk masuk ke universiti awam itu kekal berasaskan merit demi keadilan dan ketelusan kepada semua.

Haim Hilman Abdullah

26.06.2026

0 ulasan:

Catat Ulasan