Ada satu benda yang menarik tentang kemenangan Hakim Danish ni. Dia tidak menang dalam keadaan semuanya mudah.
Muhammad Hakim Danish Ramli, anak muda dari Terengganu, baru sahaja menang Moto3 Grand Prix Republik Czech di Litar Brno. Bukan menang biasa-biasa.
Dia sepatutnya bermula di petak hadapan, tetapi dikenakan penalti dan terpaksa mula dari petak ke-14. Dari belakang, dia kejar satu demi satu pelumba dunia, masuk kelompok depan, tunggu masa, pilih ruang, kemudian sailang pada saat paling tepat.
"Tak kosong" orang kata.
Hakim Danish bukan muncul tiba-tiba dari langit. Dia datang daripada sistem pembangunan yang panjang. Asia Talent Cup. Red Bull Rookies Cup. JuniorGP. SIC. ZK Racing. AEON Credit-MT Helmets-MSI. Terengganu Inc. Semua ini bahagian penting dalam cerita dia.
Dalam sukan permotoran, orang selalu nampak pelumba sahaja. Tapi di belakang seorang pelumba, ada satu pasukan yang hidup dalam tekanan.
Ada mekanik yang tak tidur lena. Ada jurutera yang baca data sampai pening kepala. Ada jurulatih yang tegur benda kecil. Ada pengurus pasukan yang pening cari dana. Ada penaja yang percaya sebelum budak itu jadi berita besar.
Kita jangan lupa orang-orang yang percaya ketika dia belum menang. Sebab percaya sebelum menang itu mahal.
Sebelum ini KBS pernah sahkan tiada dana khusus untuk Hakim mengharungi Moto3 musim ini. Selepas dia naik podium, barulah disebut pintu sokongan sentiasa terbuka.
Alhamdulillah, pintu terbuka.
Sukan permotoran bukan sukan murah. Untuk bawa Jalur Gemilang ke pentas dunia, bakat sahaja tidak cukup. Perlu duit. Perlu logistik. Perlu mesin. Perlu pasukan. Perlu kalender perlumbaan. Perlu latihan luar negara. Perlu keberanian institusi untuk melabur sebelum keputusan datang.
Kalau tunggu atlet menang baru hendak nampak, itu bukan pembangunan. Itu menumpang cahaya (limelight).
Satu lagi yang saya hormat, Hakim Danish bukan sahaja bawa nama Malaysia. Dia juga bawa prinsip dirinya.
Ketika podium di Itali sebelum ini, dia dilihat meninggalkan pentas lebih awal untuk mengelak semburan champagne. Untuk seorang anak muda Muslim, itu "statement" yang besar.
Sewaktu di pentas kemenangan di Republik Czech ni pula, awal-awal lagi pengurus dia dah ketepikan botol champagne dari podium. Maknanya pasukan dia pun faham dengan prinsip itu.
Itu indah.
Hari ini kita raikan Hakim Danish. Kita raikan pasukannya. Kita raikan semua orang yang bekerja dalam senyap sampai Jalur Gemilang naik di pentas dunia.
Bakat seperti ini mungkin datang 10 tahun sekali. Jangan tunggu dia sudah sampai podium baru kita berebut mahu berdiri di sebelahnya.
Tahniah Hakim Danish.
Tambahan dari komen netizen
ADA SEPEKARA LAGI YANG KALIAN PERLU TAHU👇
Majoriti pelumba rookie (pelumba baharu) di Moto3 memang tidak dibayar gaji pokok langsung oleh pasukan mereka.
Malah, dalam kebanyakan kes, situasinya adalah terbalik. Pelumba rookie yang perlu membayar pasukan untuk mendapatkan tempat (seat) bagi berlumba dalam musim tersebut.
Mengapa Rookie Moto3 Tiada Gaji Pokok?
Sistem Pay Rider
Pasukan Moto3 mempunyai bajet yang sangat terhad. Kos operasi satu pasukan Moto3 je boleh mencecah RM7 juta hingga RM10 juta semusim.
Oleh itu, kebiasaannya pasukan terpaksa menjual slot perlumbaan kedua mereka kepada pelumba rookie yang mampu membawa dana penajaan untuk membantu menampung kos operasi pasukan.
Contohnya macam kes Hakim Danish.
Beliau ialah pelumba rookie, pelumba baru yang belum ada nama. Bermaksud beliau juga ialah pelumba kedua bagi pasukan MT Helmets – MSI.
Apabila pasukan tidak tahu keupayaan sebenar seorang pelumba, mereka tak akan mengambil risiko untuk menghabiskan jutaan ringgit setahun kepada pelumba tersebut.
Jadi untuk mendapatkan seat pelumba kedua, Hakim Danish perlu "membayar" kos operasi yang pasukan tetapkan.
Dalam situasi ini, AEON Credit Service (M) Berhad sudi masuk sebagai penaja utama untuk menyokong slot rider kedua tersebut.
Kemasukan syarikat gergasi kewangan itu telah menyelesaikan isu dana perlumbaan Hakim Danish yang mencecah RM4 juta semusim, sekali gus mengubah nama pasukan kepada AEON Credit MT Helmets - MSI.
Tetapi perkara yang bagusnya ialah..
Pelumba Kedua lebih bagus dari Pelumba Utama.
Dalam contoh kes pasukan AEON Credit MT Helmets - MSI, pelumba kedua (Hakim Danish) lebih menyerlah dan lebih hebat berbanding pelumba utama iaitu Ryusei Yamanaka.
Jika perkara ini berterusan, Hakim Danish bakal dinaikkan pangkat menjadi pelumba utama pasukan (musim hadapan) Itu bermakna pasukan MSI mungkin akan mengurangkan jumlah yuran slot (seat cost) yang perlu dibawa oleh Hakim.
Pasukan juga sanggup membayar gaji pokok peribadi yang jauh lebih lumayan. Berserta dengan bonus perlumbaan yang lebih tinggi.
Malah penaja tidak lagi perlu "dicari", sebaliknya jenama-jenama korporat besar pula yang akan beratur untuk menaja Hakim kerana nilai komersialnya yang sudah melonjak tinggi.
Perkara ini bukan berlaku ke atas pelumba Moto3 sahaja. Ia perkara sama yang perlu dilalui oleh pelumba-pelumba kelas atasan yang lain seperti Moto2 dan MotoGP.
Bilakah Pelumba Langsung Tidak Perlu Membawa Penaja?
Pelumba hanya akan bebas 100% daripada bebanan membawa penaja komersial apabila mereka berjaya melangkah masuk ke dalam pasukan kilang (factory team)
Pada tahap premium tersebut, pengeluar motosikal gergasi dunia itu yang akan membayar gaji serta bonus yang mahal kepada pelumba. Tak perlu pening fikir pasal penaja lagi.
Dan ada ura-ura mulai tahun 2027, semua pelumba MotoGP akan menerima gaji minimum tahunan berjumlah €500 ribu atau RM2.4 juta.
Angka €500,000 ini dirancang sebagai had gaji paling sedikit setahun untuk pelumba kelas utama MotoGP mulai musim 2027 bagi memastikan tiada pelumba di kelas premium tersebut yang dibayar terlalu rendah.
Berita tersebut sangat bagus untuk pelumba-pelumba masa hadapan dan kita doakan semoga prestasi Hakim Danish sentiasa cemerlang dan terbilang bagi menghadapi mana-mana perlumbaan kelak.
Supaya beban mencari dana tajaan tidak terasa dan ada gaji dan bonus yang mencukupi untuk kegunaan beliau sendiri dan keluarga.










0 ulasan:
Catat Ulasan