Khamis, 30 Oktober 2025

Kenyataan Media Majlis Menteri Besar SG4 berkaitan hasil Mineral Nadir Bumi(REE)

 Kenyataan Media

Majlis Menteri Besar SG4 (Terengganu, Kedah, Kelantan dan Perlis)

SG4 TEGAS MINERAL NADIR BUMI (REE) ADALAH HAK NEGERI DAN KERJASAMA DENGAN KERAJAAN PERSEKUTUAN MESTI BERTERASKAN KEADILAN SERTA KELESTARIAN MANFAAT

Majlis Menteri Besar SG4 yang dianggotai oleh negeri Terengganu, Kedah, Kelantan dan Perlis menegaskan bahawa segala sumber mineral nadir bumi (Rare Earth Elements – REE) yang terdapat di dalam sempadan negeri adalah hak milik negeri sebagaimana termaktub di bawah Jadual Kesembilan (9), Perlembagaan Persekutuan. Dengan gabungan empat negeri ini mewakili 70% sumber REE terbesar negara, SG4 komited untuk memastikan hasil kekayaan bumi ini diurus secara bertanggungjawab, lestari dan memberi manfaat maksimum kepada rakyat dan generasi akan datang.

Pelan dan Polisi Negeri untuk Kelestarian Manfaat

Setiap negeri di bawah SG4 kini melaksanakan kajian terperinci serta membangunkan pelan strategik pengurusan dan pembangunan REE yang diselaraskan secara bersama. Pelan ini meliputi aspek eksplorasi, perlombongan lestari, pengurusan alam sekitar, pemindahan teknologi serta pembangunan modal insan tempatan. Polisi semasa juga menetapkan mineral kritikal ini kekal di dalam SG4 dengan menarik penyertaan pelbagai pihak industri dan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat sendiri.

Selari dengan Aspirasi Persekutuan

SG4 juga menyatakan sokongan terhadap aspirasi Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan ekosistem huluan, pertengahan dan hiliran dalam industri nadir bumi Malaysia. Kami memahami keperluan untuk mewujudkan rantaian nilai menyeluruh dari penerokaan hingga kepada pemprosesan dan penghasilan produk berasaskan REE yang bernilai tinggi. Namun demikian, SG4 menegaskan bahawa sebarang perancangan nasional mesti mengambil kira kedudukan negeri-negeri pemilik sumber dan tidak boleh dilakukan tanpa libat urus rasmi bersama kerajaan negeri.

Kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan Tanpa Mengulangi Kesilapan Lama

SG4 sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam semangat federalisme yang adil dan saling menghormati. Namun, kami juga menuntut agar pengalaman lampau berhubung perjanjian royalti minyak tidak berulang dalam konteks industri REE. Pengurusan dan pembahagian hasil perlu berasaskan prinsip ketelusan, keadilan dan perkongsian keuntungan yang seimbang.

Menuntut Model Baharu Pembahagian Hasil

SG4 berpandangan bahawa pembangunan industri REE negara harus dilaksanakan di negeri pemilik sumber tersebut supaya limpahan ekonomi dan ekosistem industri turut dinikmati rakyat setempat. Hasil negeri juga tidak boleh terhad kepada royalti semata-mata, tetapi mesti melibatkan penyertaan ekuiti, perkongsian keuntungan dan pemindahan teknologi yang nyata kepada negeri dan rakyatnya.

SG4 juga menyeru agar sebarang pelan pembangunan REE peringkat nasional serta rundingan antarabangsa menghormati hak negeri dan menyertakan wakil negeri-negeri sumber dalam setiap peringkat perancangan dan pelaksanaan.


YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar 

Menteri Besar Terengganu (Pengerusi)

YAB Dato’ P.Perang Hj Mohd Nassuruddin Hj Daud 

Menteri Besar Kelantan

YAB Dato' Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor

Menteri Besar Kedah

YAB Tuan Mohd Shukri Ramli

Menteri Besar Perlis

29 OKTOBER 2025

0 ulasan:

Catat Ulasan