Selasa, 26 November 2024

Kumpulan bela syarikat pinjam wang bidas KPKT anjur malam anugerah


 Sebuah pertubuhan yang kerap membela mangsa along dan peminjam wang berlesen mempersoalkan langkah  Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menganjurkan majlis malam anugerah meraikan syarikat peminjam wang dan pajak gadai baru-baru ini, menyifatkan tindakan itu menghantar isyarat salah mengenai realiti berurusan dengan perniagaan seumpama itu. 

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mempersoalkan mengapa KPKT "terlalu laju" dalam meraikan syarikat peminjam wang, sedangkan masih banyak kes melibatkan peminjam wang yang menindas peminjam termasuk dengan menggunakan keganasan. 

"Ini satu isyarat yang salah kerana apabila kita buat (penganjuran) begini maknanya mereka lagi seronoklah.  

"Seolah-olah mereka ini tidak ada salah, jadi mereka sukalah," kata Presiden PPIM Nadzim Johan kepada MalaysiaNow.

Beliau turut merujuk kepada perjanjian bersifat berat sebelah di mana syarat dan caj tersembunyi menyebabkan peminjam gagal menyelesaikan hutang. 

Nadzim berkata situasi sama didapati berlaku dengan syarikat pajak gadai yang menurutnya seringkali menipu berat emas. 

MalaysiaNow sebelum ini  melaporkan penganjuran Anugerah Kredit Madani 2024 oleh KPKT pada 15 November lalu, yang difahamkan adalah cetusan idea menterinya Nga Kor Ming, yang juga naib pengerusi DAP.

Ia diadakan di Hotel Berjaya Times Square dan turut dihadiri pemilik hotel berkenaan, taikun Vincent Tan.

Video klip majlis itu disusuli dengan ledakan kritikan di media sosial, di mana ramai menganggap ia contoh DAP semakin menggunakan kedudukannya dalam kerajaan untuk memberi pengiktirafan kepada sektor perniagaan yang kerap dianggap sebahagian daripada ekosistemnya.

Majlis yang menghimpunkan syarikat pinjaman wang dan pajak gadai itu julung-julung kali diadakan dengan kerjasama persatuan-persatuan mewakili pemberi pinjam wang (PPW) dan pemegang pajak gadai (PPG).

Bagi Nadzim, ia seolah-olah membenarkan salah laku dan penindasan peminjam meskipun pihak KPKT mengetahui pelbagai kes serius yang berlaku melibatkan pihak terbabit. 

"(Penganjuran) ini pun kita dapat banyak aduan orang marah sebab tak masuk akal," kata Nadzim. 

PPIM kerap memberi publisiti kepada usahanya membantu kes melibatkan penipuan, manipulasi perjanjian dan ugutan kekerasan melibatkan sindiket "along", jolokan yang diberikan untuk peminjam wang tidak berlesen.

Along sering menjadi sasaran pojak polis dan berkuasa tempatan susulan peningkatan kes jenayah terhadap peminjam yang gagal membayar semula pinjaman. 

Nadzim menganggap langkah KPKT pada 2019 untuk menjenamakan peminjam wang berlesen sebagai "Kredit Komuniti" memberikan isyarat yang salah.

Ditambah dengan penganjuran majlis anugerah, beliau berkata ia seolah-olah memberi pengiktirafan yang disifatkannya "tidak perlu". 

"Sedangkan di luar sana, patutnya mereka (KPKT) melakukan apa-apa perkara yang boleh membawa keadaan dan kesan yang positif yang tidak mempergunakan pengguna," tambahnya. 

"Mereka ini tidak boleh lagi diberi penghormatan dengan gendang dan macam-macam itu. Memang tak kena." 

Ketika dihubungi, bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan Zuraida Kamaruddin berkata tujuan asal penjenamaan syarikat peminjam wang kepada "Kredit Komuniti" adalah melindungi pengusaha kecil daripada ditipu.

Katanya, majlis seperti yang dianjurkan KPKT di bawah kepimpinan Nga tidak pernah diadakan sebelum ini.

"Saya tidak pernah memberikan sebarang anugerah atau menggalakkan orang ramai untuk berurusan dengan peminjam wang," kata Zuraida kepada MalaysiaNow.

Antara ribuan pengguna media sosial yang menyatakan rasa kesal dengan penganjuran majlis anugerah itu ialah Ahmad Daud, yang berkata dirinya mangsa penipuan oleh syarikat peminjam wang berlesen.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Ahmad berkata dia terkejut melihat video tular menunjukkan sambutan malam anugerah untuk meraikan peminjam wang.

"Adakah KPKT tidak sedar berapa ramai rakyat Malaysia menanggung sengsara disebabkan segelintir syarikat peminjam wang berlesen yang suka menipu? 

"Saya dan isteri menderita enam tahun membayar wang yang kami tak pinjam sebab tak faham perjanjian yang ditulis," kata Ahmad.

Menurutnya, dia terpaksa meminjam wang untuk rawatan ibu mertuanya.

"Lepas arwah meninggal dunia, kami masih bayar hutang. Macam mana KPKT boleh sambut dan raikan geng-geng macam ni?" katanya.

Tahun lepas, terdapat lebih 4,400 peminjam wang berlesen dan 881 pajak gadai dengan nilai pasaran hampir RM25 bilion.

Apa yang dilalui Ahmad merupakan antara sebab mengapa peminjam wang, sama ada yang berlesen atau tidak, mempunyai reputasi buruk di negara ini.

Menurutnya, dia memohon pinjaman dengan sebuah syarikat peminjam wang berlesen pada 2017. Bagaimanapum, perjanjian yang ditandatangani itu menyembunyikan caj faedah bulanan di mana dia harus membayar kadar bunga setiap bulan dengan harga bermula RM300, yang meningkat setiap bulan. 

Katanya, keadaan lebih parah apabila dia tidak mampu membayar ansuran bulanan pinjaman kerana perlu membayar kadar bunga yang semaik naik.  

Ahmad berkata, ada ketika dia tidak membayar caj faedah bulanan kerana mendahulukan ansuran pinjaman, tetapi ini hanya melonjakkan jumlah bunga pada bulan berikutnya. 

"Saya serik, semua ini, berlesen atau tidak, bagi saya sama sahaja."

Sumber 

0 ulasan:

Catat Ulasan