PETALING JAYA: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengesan sebanyak 432 tapak pembuangan sampah haram di enam negeri serta Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Negeri terbabit adalah Perlis, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Johor dengan 163 daripadanya masih aktif menjadi tempat pembuangan sampah walaupun sudah ditutup oleh pihak berkuasa.
Pengerusi SWCorp, Rizalman Mokhtar berkata, masyarakat tidak berdisiplin antara punca masalah pengurusan sampah di negara ini.
“Kita tak fikir mana tempat betul nak buang sampah. Kalau sikap seperti ini tidak dikawal tidak dibendung, kita boleh jadi negara sampah.
Dari segi pengurusan agak teratur, cuma perlu penambahbaikan untuk masyarakat sedar dan berdisiplin dengan pembuangan sampah,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Beliau berkata, jumlah sisa pepejal yang dijana di negara ini pada tahun lalu adalah sebanyak 38,318 tan sehari dengan anggaran 1.17kg penjanaan sisa pepejal oleh setiap individu di negara ini.
“Jumlah sisa pepejal yang dijana pada tahun lalu menunjukkan peningkatan sebanyak 0.065% kenaikan berbanding 38,294 tan sehari pada 2020,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan menggandakan usaha terutamanya di peringkat penguatkuasaan agar tapak haram itu tidak menjadi kes berulang.
“Kita menggandakan pemantauan secara berterusan, penangkapan dan pendakwaan supaya lokasi pembuangan sampah haram itu terus dibasmi.
“Kita ada kes yang didakwa di mahkamah dan mereka juga telah didenda,” katanya.
Katanya, antara 2014 sehingga Mei tahun ini, sebanyak 145 kes telah didakwa di mahkamah dan denda sebanyak RM1.8 juta melibatkan negeri yang menerima pakai akta 672 (Seksyen 71 (1), Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007).
“Jadi soal penguatkuasaan memang kita tak kompromi atau beri kelonggaran sebab kita bimbang ia jadi satu trend kepada masyarakat atau mana-mana pihak yang mengambil jalan singkat dengan membuat tapak pembuangan sampah haram,” katanya.-FMT
0 ulasan:
Catat Ulasan