Rabu, 15 Jun 2022

Najib lantik diri sendiri jadi Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB - Saksi

 Datuk Seri Najib Razak hadir perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

Datuk Seri Najib Razak hadir perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Razak melantik dirinya menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat (BOA) 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Siti Zauyah Mohd Desa, saksi ke-26 pendakwaan ketika membaca penyataan saksinya, berkata menteri kewangan tidak terbabit secara langsung dalam syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan yang lain selain 1MDB.

Beliau memberitahu demikian dalam perbicaraan kes Najib yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Katanya, tiada mana-mana pegawai Kementerian Kewangan atau dari bahagian Menteri Kewangan Diperbadankan dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah 1MDB.

"Saya sahkan, dalam syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan yang lain, hal seperti ini tidak berlaku," katanya ketika membacakan penyataan saksinya.

Sementara itu, Siti Zauyah berkata bidang kuasa Menteri Kewangan Diperbadankan secara jelas dinyatakan dalam Undang-Undang Malaysia, Akta 375, Akta Menteri Kewangan (Diperbadankan) 1957.

Katanya, Seksyen 3 (1) akta itu menyatakan, menteri kewangan bertanggungjawab dalam hal kewangan atas nama badan korporat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan, oleh itu mengikut seksyen 3(2) akta sama, ia boleh menyaman dan disaman.

Beliau menjelaskan, apabila terdapat satu dokumen atau apa-apa resolusi, persetujuan atau arahan yang dibuat oleh seseorang Menteri Kewangan (Diperbadankan) kepada sesebuah syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan, ia dianggap sah dan adalah satu bentuk kelulusan.

Selain itu, Menteri Kewangan Diperbadankan sebagai pemegang saham tunggal kepada sebuah syarikat milik Kerajaan adalah tertakluk kepada Akta 125 Akta Syarikat 1965. Oleh demikian, kuasa Menteri Kewangan Diperbadankan sebagai pemegang saham tertakluk juga kepada perincian di dalam akta syarikat berkenaan," katanya.

-BH Online

0 ulasan:

Catat Ulasan